comscore
Tumpuan :
Sukan

Malaysia sahkan satu lagi slot ke Kejohanan Skuasy Dunia  

Yiwen dan Sehveetrraa bertemu sesama sendiri pada perlawanan akhir kelayakan skuasy Zon Asia esok.

KUALA LUMPUR: Satu lagi  tiket ke Kejohanan Skuasy Dunia di Kaherah bulan depan sah milik Malaysia apabila perseorangan wanita Chan Yi Wen dan Sehveetrraa Kumar bertembung sesama sendiri pada perlawanan akhir pusingan kelayakan zon Asia esok.

Sebelum ini Ng Eain Yow, S. Sivasangari, serta Aira dan Aifa Azman sudah pun layak ke pusingan akhir.

Pada aksi yang berlangsung di Pusat Skuasy Nasional, Jalan Duta Kuala Lumpur, hari ini, Sehveetrraa yang berada di ranking ke 124 dunia hanya memerlukan 23 minit untuk memastikan slot ke final menjadi miliknya selepas mengatasi pilihan ketujuh kejohanan, Toby Tse dari Hong Kong dengan keputusan 11-2, 11-8, 11-6.

“Saya amat berbangga dengan apa yang telah saya tampilkan setakat ini, kerana saya baru sahaja pulih daripada kecederaan hamstring, dan saya berusaha dengan amat kuat sekali untuk bersiap menghadapi kejohanan ini,

“Ini adalah kejohanan pertama saya selepas kembali daripada kecederaan, dan saya gembira dapat mara ke final. Untuk perlawanan esok saya akan cuba berikan yang terbaik sekali lagi,” kata Sehveetrraa.

Terdahulu Yi Wen mencuri tumpuan apabila mengejutkan pilihan pertama dari Hong Kong Cheng Nga Ching 11-5, 11-1, 11-8  pada satu lagi aksi separuh akhir.

‘Saya cuba untuk tidak terlalu berfikir banyak sangat dalam perlawanan hari ini kerana semalam ia banyak mendorong saya membuat banyak sangat kesilapan.

“Saya lebih menumpukan kepada proses dan pelan permainan saya dan saya bersyukur semuanya berjalan seperti yang saya rancang,” ujar Yi Wen.

Sementara itu, pada saingan perseorangan lelaki, Malaysia turut memiliki seorang wakil pada perlawanan akhir esok.

Addeen Idraikie Bahtiar dipaksa bekerja keras sebelum mengesahkan kemaraan selepas menundukkan Tang Ming Hong dari Hong Kong menerusi permainan empat set.

Tewas 7-11 pada set pertama, Addeen bangkit menguasai tiga set berikutnya 13-11, 11-5, 11-6.

Bagaimanapun harapan untuk menyaksikan pertemuan sesama sendiri dua wakil negara pada perlawanan akhir tidak kesampaian.

Bryan Tze Kang Lim terpaksa akur dengan kekalahan kepada pilihan utama dari Jepun, Ryunosuke Tsukue pada satu lagi perlawanan separuh akhir yang mengambil masa selama 44 minit itu.

Bryan tewas dalam pertarungan empat set,  8-11, 11-7, 2-11, 8-11.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini