comscore
Tumpuan :
Sukan

Manchester United sah ke suku akhir Liga Europa

Marcus Rashford mencipta jaringan tunggal perlawanan . – Foto: UEFA

SEVILLA – Manchester United menepati ramalan mara ke suku akhir Liga Europa selepas berjaya mengatasi Real Betis menerusi kemenangan 1-0.

Ia sekaligus menyaksikan skuad kendalian Erik Ten Hag mara dengan agregat 5-1 selepas kemenangan 4-1 yang diraih pada pertemuan pertama minggu lalu di Old Trafford.

United yang turun beraksi di Estadio Benito Villamarin itu dengan kelebihan cukup selesa bagaimanapun diberi tentangan sengit Real Betis pada aksi 45 minit pertama.

Gol tunggal perlawanan hanya hadir pada minit ke 56 selepas Marcus Rashford membuat percubaan dari luar kotak penalti, menyaksikan bola gagal disekat penjaga gol tuan rumah, Rui Silva.

Ini merupakan jaringan keenam Rashford dalam kempen Piala Europa kali ini, juga merupakan penjaring terbanyak setakat ini.

“Saya sangat gembira, Betis merupakan pasukan yang hebat, kita dapat melihat aksi mereka ketika berdepan Real Madrid dan Barcelona, tetapi kita menewaskan mereka sebanyak dua kali, jadi saya rasa pasukan telah mempamerkan persembahan terbaik, separuh masa kedua kita beraksi lebih baik, kekal mengawal bola di kawasan lawan dan turut mencipta peluang.

“Kesemua pemain telah memberikan yang terbaik, sekali lagi saya katakan, mana-mana yang bersama kami dapat melaksanakan tugas yang diberikan, dan prestasi mereka menjadikan mereka bukan hanya beraksi dengan 11 pemain, tetapi beraksi sebagai sebuah pasukan,” kata Ten Hag selepas perlawanan.

Undian bagi peringkat suku akhir akan dilakukan sebaik semua perlawanan peringkat 16 pasukan tamat.

Dan aksi suku akhir dijadualkan berlangsung pada 11 dan 18 Mei nanti.

Loading...
Terkini