comscore
Tumpuan :
Sukan

Masih ada ruang buat Malaysia kemuka rayuan senarai Sukan SEA 2025

PETALING JAYA: Senarai terkini 40 jenis sukan yang akan dipertandingkan pada Sukan Sea Thailand 2025 selepas berlangsung mesyuarat Jawatankuasa Sukan Sea hari ini nyata tidak menyebelahi Malaysia.

Ia susulan sukan yang menjadi sandaran negara dalam kutipan pingat iaitu Karate, Wushu, Tenpin Boling dan Boling Padang digugurkan.

Meredakan keresahan dan rasa tidak puas hati persatuan-persatuan sukan terbabit,  Majlis Olimpik Malaysia, MOM menjelaskan ia masih boleh disenaraikan menerusi sesi rayuan.

Memetik kenyataan Presiden MOM, Tan Sri Mohd Norza Zakaria, “Di bawah Piagam dan Peraturan SEAGF, setiap NOC tuan rumah berhak mengemukakan senarai sukan awal dari pelbagai kategori, tertakluk kepada kelulusan akhir oleh Majlis SEAGF selepas mempertimbangkan rayuan NOC lain.

“MOM sedang menguruskan untuk mengemukakan rayuan untuk sukan tambahan kepada SEAGF sebelum tarikh akhir.”

Tuan rumah dibenarkan memilih sukan yang ingin dipertandingkan berdasarkan kategori ditetapkan, namun ia masih tertakluk kepada keputusan jawatankuasa akhir SEAGF.

Justeru Persatuan Sukan Kebangsaan mempunyai tempoh kira-kira tiga bulan dengan harapan mendapat sokongan majoriti untuk dimasukkan semula sebelum senarai yang dipertandingkan Sukan Sea 2025 dimuktamadkan.

Sukan Sea 2025 bakal menyaksikan Bangkok, Chonburi dan Songkla menjadi lokasi bagi tiga kategori sukan wajib.

Kategori wajib A iaitu wajib temasya adalah akuatik dan olahraga.

25 lagi sukan wajib satu B berstatus Olimpik, antaranya bola sepak, badminton, basikal, memanah,  gimnastik, hoki, ragbi, pelayaran, ping pong, lawan pedang dan menembak.

Manakala kategori dua, wajib olimpik dan Sukan Asia, pula menyenaraikan 11 jenis sukan terdiri sepak takraw, tinju, e-sukan, skuasy, pencak silat, baseball, muay thai, petong dan bola jaring.

Kategori tiga pula adalah sukan pilihan tuan rumah dengan Thailand menyenaraikan teqball dan kick boxing.

Sementara dua sukan demonstarsi diperkenalkan kali ini adalah cakera terbang dan tarik tali.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini