comscore
Tumpuan :
Sukan

NSFC masih percaya kewibawaan ketua jurulatih

Ketua Pegawai Eksekutif NSFC, Faliq Firdaus. – FOTO: NSTP

SEREMBAN: Kita akan terus beri kepercayaan kepada ketua jurulatih, Azzmi Ab Aziz untuk mengubah nasib pasukan dalam perlawanan akan datang, itu pendirian Negeri Sembilan FC (NSFC) susulan prestasi buruk pasukan ketika ini.

Bagaimanapun menurut Ketua Pegawai Eksekutif NSFC, Faliq Firdaus, bedah siasat susulan prestasi buruk kalah empat perlawanan termasuk satu dalam saingan Piala FA, musim ini.

Selepas tiga perlawanan Liga Super, NSFC satu-satunya pasukan yang belum mampu mengutip sebarang mata apabila tewas kesemua perlawanan untuk menghuni tangga tercorot.

“Setakat ini kita lihat kesepaduan dalam pasukan kurang memuaskan. Apabila ada pemain yang memberi pendapatnya sendiri, membuatkan perancangan jurulatih terjejas

“Kita sedar pemain import yang kita ambil datang dari pelbagai latar belakang yang berbeza dan sepatutnya mereka mematuhi setiap perancangan dan arahan yang dibuat jurulatih, namun perkara itu tidak berlaku. Ia perlu diperbaiki.

“Saya lihat ini isu utama yang memberi impak kepada kualiti persembahan pasukan.

“Kita akan melakukan bedah siasat segera bagi menyelesaikan masalah ini kerana setiap pemain perlu mengikut kehendak jurulatih.

“Namun begitu, kita akan terus beri kepercayaan kepada ketua jurulatih, Azzmi untuk mengubah nasib pasukan dalam perlawanan akan datang,” katanya di Kompleks Belia dan Sukan, Paroi, hari ini.

Apapun Faliq mengakui  tidak menjangka jumlah bolos yang diterima pasukan adalah tinggi iaitu 14 gol.

NSFC memulakan aksi Liga Super musim ini dengan tewas kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) 1-3 disusuli tunduk kepada Selangor 0-4 dan 0-3 kepada KL City.

Pasukan itu juga tewas 0-4 kepada Selangor dalam saingan peringkat terakhir 16 pasukan Piala FA.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini