comscore
Tumpuan :
Sukan

Olimpik Paris: KBS beri jaminan keselamatan kontinjen negara

FOTO: NSTP

KAJANG: Keselamatan atlet negara sepanjang Sukan Olimpik yang berlangsung di Paris menjadi keutamaan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Itu jaminan menterinya Hannah Yeoh susulan pergolakan politik yang berlaku di Perancis.

“Keselamatan atlet dan kontinjen, termasuk staf-staf sokongan yang pergi itu merupakan keutamaan kepada kita,” kata Hannah kepada pemberita selepas menghadiri program Projek Reben Kuning peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2024 di Penjara Wanita Kajang, di sini hari ini.

Beliau berkata KBS sudah membuat persiapan dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) juga sentiasa berhubung dengan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) mengenai  perkembangan di Paris.

“Jadi kita akan sentiasa mendapat maklumat daripada MOM dan IOC. Kita dah buat persiapan dan telah diberikan taklimat. Kita harap semuanya berjalan lancar,” katanya.

Semalam Ketua Kontinjen (CDM) Datuk Hamidin Mohd Amin mengesahkan jumlah muktamad atlet negara ke Paris seramai 26 orang.

Ia selepas atlet terjun Ooi Tze Liang gagal memperolehi slot tambahan daripada Akuatik Dunia menjelang tarikh  tutup kelayakan kelmarin,

Atlet negara bakal beraksi dalam 10 jenis sukan antaranya terjun, renang, sukan pelayaran, menembak, berbasikal, angkat berat, badminton, golf, dan olahraga.

Sukan Olimpik 2024 dijadual berlangsung dari 26 Julai hingga 11 Ogos ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini