comscore
Tumpuan :
Sukan

Olimpik Paris: Rexy suntik semangat pemain buru emas sulung Olimpik

Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky, ketika sesi latihan pasukan badminton negara menjelang Sukan Olimpik Paris 2024 di Akedemi Badminton Malaysia, Bukit Kiara. FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: ‘Kilauan pingat emas…’ itulah yang harapan menggunung yang amat disedari kem badminton negara pada Sukan Olimpik Paris 2024 yang bakal berlangsung dari 26 Julai hingga 11 Ogos ini

Harapan tinggi yang dikongsi pemegang taruh dan rakyat dalam menanti emas sulung Sukan Olimpik.

Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM) Rexy Mainaky berkata walaupun pihaknya tidak mengumumkan sasaran pingat secara rasmi, tetapi perbincangan mengenai sasaran diadakan secara dalaman.

“Semua pihak tahu, selalu akan bincang mengenai perkara ini dan mungkin tahu dari MOM (Majlis Olimpik Malaysia), Kementerian Belia dan Sukan, bahawa semua orang mahu lagu Negaraku berkumandang di pentas Olimpik dengan meraih pingat emas.

“Sekiranya kita berjaya, semua orang akan gembira, jika tidak saya yang kena bertanggungjawab. Buat masa ini, semua persiapan berlangsung dengan baik dengan bantuan Majlis Sukan Negara dan RTG (Road to Gold), saya gembira dengan itu,” katanya pada sidang media di ABM di sini hari ini.

Rexy dapat merasakan  bahawa beregu lelaki Aaron Chia-Soh Wooi Yik, beregu wanita Pearly Tan-M. Thinaah, beregu campuran Chen Tang Jie-Toh Ee Wei serta pemain perseorangan lelaki profesional Lee Zii Jia mempunyai peluang untuk membawa pulang pingat pada kali ini.

Jelas Rexy bukan bermaksud untuk mengetepikan perseorangan wanita profesional Goh Jin Wei, tetapi keadaan semasa bekas juara dunia remaja pada masa ini tidak berada pada tahap untuk mencabar pingat.

Rexy, pemenang pingat emas beregu lelaki Olimpik Atlanta 1996 berkata beliau sentiasa berkongsi maklumat dan memberikan motivasi kepada pemain di ABM untuk menjadi lebih baik di dalam dan di luar gelanggang.

“Saya selalu berkongsi dengan mereka, bukan hanya teknik, tetapi juga apa yang perlu dilakukan untuk berjaya, seperti bagaimana mereka mesti sentiasa sangat inginkan kejayaan dan berusaha lebih keras untuk mencapainya,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini