comscore
Tumpuan :
Sukan

Pahang sedia anjur Sukan Sea 2027

FADZLI (kiri) bertemu atlet boling padang dan ragbi Sukma Pahang di Kompleks Sukan Pahang (Sukpa), Kuantan. FOTO: NSTP

KUANTAN: Kerajaan Pahang bersedia menganjurkan Sukan Sea 2027 terutama dalam acara hoki.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan negeri, Fadzli Mohamad Kamal berkata, berdasarkan daripada segi infrastruktur, Pahang mempunyai kemudahan bagi penganjuran acara sukan berkenaan.

“Saya teruja Pahang menawarkan diri sebagai tuan rumah bagi acara sukan hoki untuk penganjuran Sukan Sea 2027, tapi kita lihat apa keperluan sebenar apabila bersedia menjadi penganjur.

“Namun, saya perlu mendapatkan persetujuan pada Mesyuarat Exco Pahang terutama merujuk kepada Menteri Besar Pahang (Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail).“Pada masa sama, kita tidak tahu jumlah gelanggang yang diperlukan untuk menganjurkan acara hoki bagi Sukan Sea nanti,” katanya.

Fadzli berkata demikian selepas meninjau latihan atlet boling padang dan ragbi Sukan Malaysia (Sukma) Pahang di Kompleks Sukan Pahang (Sukpa) di sini, hari ini.

Turut sama meninjau latihan itu ialah Pengarah Majlis Sukan Negeri Pahang, Zamri Hassan.

Sebelum ini,  tiga negeri iaitu Sarawak, Pulau Pinang dan Sabah berminat menganjurkan Sukan Sea 2027.

Sementara itu, Fadzli mengesahkan 560 atlet Pahang terpilih untuk beraksi pada temasya Sukma Sarawak 2024 yang dijadualkan pada bulan depan.

Katanya, senarai itu adalah yang terkini selepas MSP melalui persatuan sukan menyenarai pendek atlet yang layak daripada 603 atlet sebelum ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini