comscore
Tumpuan :
Sukan

Paralimpik Paris: Kalau ada rezeki boleh bawa emas – Suresh

FOTO: Fail NSTP

KUALA LUMPUR: S. Suresh berharap cuaca panas yang diramal melanda Paris sepanjang temasya Sukan Paralimpik 2024 membawa tuah kepadanya selepas kecewa pada edisi Tokyo 2020.

Bekas juara memanah para dunia itu tersingkir awal di Tokyo berkata dirinya kini lebih yakin menyahut cabaran baharu di Paris dengan melakukan panahan lebih tepat yang mampu membawanya ke kedudukan podium kali ini.

“Saya tonton berita bahawa di Perancis ketika ini agak panas, jadi saya harap boleh tahan dan cuaca ini akan bantu saya.

“Kali ini saya rasa boleh pergi jauh untuk dapatkan pingat…kalau ada rezeki boleh bawa emas,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran 50 Days Countdown Paris 2024 Paralympic Games di sini hari ini.

Suresh juga melihat peluang untuk menaiki podium pada Sukan Paralimpik 2024 di Paris lebih seimbang berbanding penampilan sulungnya di Tokyo 2020.

Semasa di Tokyo 2020, pemanah kelahiran Kedah itu tewas kepada wakil Jawatankuasa Paralimpik Rusia Bato Tsydendorzhiev, 2-6 di peringkat penyingkiran 1/16.

Pemanah berusia 31 tahun itu berkata kesemua pencabarnya kali ini, termasuk dari tuan rumah Perancis, Thailand, Indonesia dan India memiliki peluang sama rata untuk memburu pingat pada saingan yang akan berlangsung di Esplanade des Invalides.

“Dahulu boleh ramal negara mana yang bahaya, namun kali ini rata-rata hampir semua kuat, termasuk India yang sedang memuncak.

“Peluang agak sama rata, hanya atlet yang mempunyai ketahanan mental kuat serta dapat kawal perasaan mampu mara lebih jauh,” katanya.

Apa yang pasti selain cabaran atlet lawan, suhu musim panas di Paris kali ini diramalkan lebih tinggi berbanding sekitar 25 hingga 42 darjah celcius yang pernah dicatatkan sebelum ini, turut menjadi cabaran seiap peserta.

Situasi itu menyaksikan beberapa pihak menyatakan kegusaran mengenai potensi risiko kesihatan, termasuk kekejangan, keletihan dan strok haba.

Sukan Paralimpik 2024 dijadual berlangsung dari 28 Ogos hingga 8 Sept ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini