comscore
Tumpuan :
Sukan

Peluang Aaron-Wooi Yik tebus kekalahan di India

Beregu negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik ketika bertemu wakil China, Liu Yu Chen dan Ou Xuan Yi pada Terbuka Malaysia 2023 di Axiata Arena Bukit Jalil, baru-baru ini. – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Tiada istilah berputus asa dalam kamus beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik di sebalik kegagalan mereka mengakhiri penantian muncul juara buat kali pertama dalam saingan Jelajah Dunia BWF.

Gandingan nombor tiga dunia itu terlepas peluang terbaik merekodkan kejuaraan pertama dalam kejohanan terbuka sejak digandingkan pada 2017 apabila tewas pada pentas final Terbuka India di tangan beregu China, Liang Wei Keng-Wang Chang, kelmarin.

“Kami tidak boleh cakap yang kami berpuas hati kerana kami tidak berjaya meraih gelaran juara. Namun, secara keseluruhannya, prestasi kami baik dan boleh diterima.

“Ini hanyalah kejohanan kedua bagi tahun 2023. Kami akan terus bekerja keras dan terus percaya dengan kemampuan diri sendiri,” kata Aaron ketika ditemu ramah Persekutuan Badminton Dunia (BWF) sebaik tamat aksi final di New Delhi.

Pencapaian di India boleh dianggap sebagai tanda kebangkitan juara dunia itu yang ditunjukkan jalan keluar pada pusingan kedua Terbuka Malaysia, dua minggu lalu.

Peluang sekali lagi terbuka buat Aaron-Wooi Yik bagi mengakhiri penantian muncul juara apabila mereka dijadual beraksi dalam saingan Masters Indonesia.

Pasangan negara itu akan membuka tirai kempen di Jakarta menentang beregu daripada pusingan kelayakan, esok.

Jika berjaya melangkah ke pusingan kedua, mereka berpeluang menebus kekalahan di tangan Wei Keng-Wang Chang yang diramal menjadi lawan untuk perebutan tiket ke suku akhir.

Wei Keng-Wang Chang akan memulakan kempen di Masters Indonesia menentang beregu Jerman, Mark Lamsfuss-Marvin Seidel pada aksi pusingan pertama.

Loading...
Terkini