comscore
Tumpuan :
Sukan

Pestak persoal tindakan MSN Kedah

SKUAD sepak takraw Sukma Kedah ketika menyertai Kejohanan Piala Presiden di Pulau Pinang.

KUALA LUMPUR: Pasukan Sepaktakraw Sukan Malaysia (Sukma) Kedah kecewa dengan tindakan Majlis Sukan Negeri (MSN) Kedah menolak permohonan mereka untuk menghantar acara berpasukan ke Sukma Sarawak dalam Kategori B tanpa memberikan jawapan terperinci.

Pengurus pasukan Sukma Kedah, Syed Husain Syed Abu Bakar Al Edroos berkata, keputusan dibuat MSN Kedah itu sangat tidak adil biarpun Persatuan Sepaktakraw Negeri Kedah (Pestak) sanggup mengeluarkan dana sendiri untuk menghantar pasukan ke temasya dwi tahunan itu.

Jelasnya, MSN Kedah mereka tidak mengikut ketetapan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja (JKK) dan taklimat ketika itu apabila syarat diletakkan bagi sukan kategori A perlu layak sekurang-kurangnya ke suku akhir di kejohanan peringkat Kebangsaan dan Kategori B yang tidak mencapai keputusan pihak persatuan boleh menggunakan dana sendiri ke Sukma.

“Sepatutnya sebelum menolak, panggil dulu dan maklumkan secara jelas kerana itu cara lebih elok dan manis.

“Sebab kita tahu kalau kekangan kewangan, kita boleh bantu, tiada masalah tapi ini tolak mentah-mentah tanpa sebarang alasan seolah-olah benda ini tidak serius.

Beliau berkata, skuad sepak takraw mencapai sasaran diletakkan tetapi sesuatu yang mengecewakan hak mereka dinafikan begitu sahaja tanpa memberikan jawapan tepat.

“Surat jawapan Pengarah MSN Kedah, Zulzuraidy Othman bertarikh 20 Jun 2024 memaklumkan Jawatankuasa Penilai Permohonan Sukan Kategori B MSN Kedah menolak permohonan Pestak melalui surat bertarikh 4 Jun 2024.

“Mereka menolak tanpa sebarang alasan yang boleh menimbul prejudis dan tidak mengikut ketetapan seperti mana taklimat disampaikan kepada semua persatuan terbabit dengan Sukma.

“Surat rayuan diserahkan secara bersemuka kepada Exco Sukan Kedah, Muhammad Radhi Mat Din dan berjanji menyelesaikan perkara ini, tetapi sehingga kini tiada jawapan sedangkan tarikh tutup pada 5 Julai.

“Isunya sekarang, apa yang menghalang kami dan kenapa persatuan tidak boleh bawa pemain menggunakan wang sendiri untuk menghantar pasukan ke Sukma Sarawak?

“MSN Kedah tidak mahu menghantar acara berpasukan. Jadi, kenapa MSN Kedah tidak bagi kami di persatuan ini guna duit sendiri, apa masalah mereka?

“Persatuan sanggup keluarkan duit kerana persiapan awal sudah dilakukan termasuk ada pemain sanggup berhenti kerja demi menjalani latihan ke Sukma Sarawak tanpa mendapatkan elaun bulanan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini