comscore
Tumpuan :
Sukan

PIALA DUNIA 2022: Flick bersendirian layan wartawan

Ketua jurulatih Jerman, Hansi Flick menghadiri sidang akhbar di Qatar National Convention Center (QNCC) dekat Doha menjelang pertemuan dengan Sepanyol. – FOTO: EPA

DOHA: Selepas kontroversi mengenai lilitan lengan pelangi ‘One Love’ sebelum aksi pertama Jerman pada Piala Dunia 2022, pasukan kebangsaan Jerman memutuskan untuk tidak menghantar mana-mana pemain ke sidang akhbar rasmi FIFA menjelang pertembungan genting menentang Sepanyol awal pagi esok.

Jurulatih Hansi Flick dilihat berseorangan berdepan wartawan dan berkata beliau tidak faham kenapa mereka tidak dibenarkan bercakap di hotel mereka, menjelaskan alasan mengapa beliau memutuskan tiada seorang pemain pun hadir ke bilik sidang akhbar pusat media.

“Kami mengharungi perjalanan selama tiga jam untuk hadir dan bercakap di sini dan saya lebih suka pemain berehat serta memulihkan tenaga mereka,” kata Flick.

“Kami mempunyai kemudahan fantastik untuk mengadakan sidang akhbar, tetapi mereka tidak membenarkan kami bercakap di sana, jadi saya memutuskan untuk hadir secara bersendirian. Pemain saya hanya perlu memikirkan mengenai aksi bertemu Sepanyol.”

Patut diketahui Jerman adalah satu-satunya pasukan yang menginap di luar kawasan Piala Dunia diadakan, lebih 100 kilometer jauh jaraknya.

Mereka menginap di pusat peranginan mewah Zulal Wellness Resort di Al Shamal, kira-kira 113km dari pusat bandar Doha.

Satu lagi teori ialah persekutuan bola sepak Jerman (DFB) dan pemain masih bengang terhadap FIFA, badan induk bola sepak dunia, yang melarang mereka memakai lilitan lengan pelangi bagi menyokong komuniti LGBT jika tidak mahu dikenakan layangan kad kuning pada awal permainan serta denda.

Kemarahan mereka terbukti apabila kesebelasan utama pasukan itu menekup mulut mereka dengan tangan ketika bergambar rasmi sebelum perlawanan menentang Jepun, yang menyaksikan mereka kalah 2-1.

Keputusan Jerman itu akan menjurus kepada penalti dari segi kewangan kerana FIFA mewajibkan pemain untuk hadir bersama jurulatih melayan soalan media menjelang setiap perlawanan Piala Dunia. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini