comscore
Tumpuan :
Sukan

PIALA DUNIA 2022 – ‘Tiada siapa bayangkan Arab Saudi sebaik ini’

FOTO AP – Ketua jurulatih Arab Saudi, Herve Renard memberi penghormatan buat penonton selepas pertemuan dengan Poland di Stadium Education City dekat Al Rayyan, Qatar.

AL RAYYAN, Qatar: Jurulatih Arab Saudi, Herve Renard berkata, tiada sesiapa pun di dunia membayangkan pasukannya mampu beraksi seperti yang mereka lakukan, di sebalik tewas 2-0 kepada Poland pada aksi Kumpulan C Piala Dunia, malam tadi.

Selepas kemenangan mengejutkan 2-1 ke atas Argentina pada perlawanan pertama, Arab Saudi bermain dengan pendekatan berbeza menentang Poland apabila lebih banyak menguasai bola.

Namun mereka dibolosi satu gol pada penghujung setiap babak menerusi Piotr Zielinski dan Robert Lewandowski.

Poland, yang seri 0-0 dengan Mexico pada aksi pertama, mendahului kumpulan itu dengan empat mata daripada dua perlawanan, satu mata di depan Arab Saudi.

Argentina kemudian merampas tempat Arab Saudi di tangga kedua kumpulan selepas mereka mengatasi Mexico 2-0 beberapa jam kemudian.

“Tiada siapa di dunia berasakan kami boleh beraksi di tahap ini. Ya, di Arab Saudi kami amat mengenali pemain kami, tetapi mereka langsung tidak dikenali oleh peminat di seluruh dunia,” kata Renard pada sidang akhbar.

“Kami masih berpeluang. Saya bangga dengan pemain saya. Kami sepatutnya mengawal permainan dengan lebih baik. Jika kami menyempurnakan sepakan penalti itu, babak pertama akan berakhir 1-1 dan kemudian perlawanan ini pasti berbeza.”

Renard menjelaskan kekalahan di Education City itu bukannya disebabkan nasib malang atau tiada tuah, namun ia sebaliknya disebabkan kurang efektif.

“Kami kurang ketepatan di kawasan lawan menentang pasukan yang kuat, kami melakukan kesilapan ketika membuat umpanan dan kami tidak bermain secara realistik, tetapi kami tidak akan berputus asa.”

Renard tetap bersalam dengan pemainnya selepas perlawanan itu di samping bertepuk tangan ke arah penyokong.

Namun sokongan paling kuat diberikannya kepada pemain tengah bertahan, Abdulelah Al-Malki, yang melakukan kesilapan hingga membolehkan Lewandowski merampas bola sebelum menyepak leret melepasi penjaga gol Mohamed Al-Owais.

“Memang mudah untuk menyalahkan atau bertempik terhadap pemain, saya menyokong Al-Malki selepas kesilapannya dan inilah cara pasukan kejurulatihan saya,” kata Renard.

“Sesetengah pemain melakukan kesilapan hari ini, tetapi ia berlaku, lagipun bola sepak adalah permainan berpasukan.”

Jurulatih berusia 54 tahun itu membayangkan pasukannya akan bermain perlawanan berikutnya di Lusail menentang Mexico dengan semangat dan keinginan yang sama.

“Kami memerlukan bantuan penyokong untuk melakar sejarah, saya mahu stadium menjadi hijau sekali lagi, mungkin kami bermain dengan jersi putih, tetapi ia tidak penting, kami mahukan sokongan daripada peminat,” tambahnya. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini