comscore
Tumpuan :
Sukan

Real bakal perkenal Mbappe secara rasmi 

Kylian Mbappe

MADRID: Pemain sensasi Perancis, Kylian Mbappe akan diperkenalkan secara rasmi sebagai pemain Real Madrid di Stadium Santiago-Bernabeu pada Selasa ini.

Pengesahan kelab gergasi Sepanyol itu hadir kurang dari 24 jam selepas bekas bintang Paris Saint-Germain (PSG) dan pasukan Perancis itu tersingkir dari Euro 2024.

Perancis tewas 1-2 di tangan Sepanyol dalam aksi separuh akhir awal pagi tadi.

Mbappe, yang bakal memakai jersi nombor 9, akan diperkenalkan di Bernabeu dan disambut oleh Presiden Real, Florentino Perez, untuk menandatangani kontrak selama lima tahun, kata kelab itu, hari ini.

Kapten Perancis itu mengharungi kempen Euro 2024 yang mengecewakan selain mengalami patah hidung dalam perlawanan pembukaan menentang Austria.

Mbappe dijangka bermain perlawanan kompetitif pertamanya untuk juara Sepanyol dan Eropah itu apabila mereka memulakan misi mempertahankan kejuaraan La Liga menentang Real Mallorca pada bulan depan di Bernabeu.

Mbappe menyertai Real sebagai ejen bebas dengan gaji tahunan yang dilaporkan sebanyak 15 juta euro (RM76.3 juta).

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini