comscore
Tumpuan :
Sukan

Siri Jelajah Perth dedahkan pemain corak permainan intensiti tinggi – KHM

FOTO: Malaysian Hockey Confederation

KUALA LUMPUR: Siri jelajah di Perth, Australia, selama dua minggu, bermula esok, akan menjadi platform bagi mendedahkan Skuad Projek Khas Lelaki Kebangsaan terhadap corak permainan berintensiti tinggi sebagai persiapan menghadapi kejohanan hoki Piala Dunia Remaja 2023 di sini, Disember ini.

Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), dalam kenyataan hari ini, memaklumkan siri jelajah yang membariskan 20 pemain itu menyaksikan enam perlawanan diatur menentang pasukan kelab Western Australian Institute of Sport (WAIS) bawah 21 tahun.

Ketua jurulatih, Muhamad Amin Rahim mahu anak-anak buahnya mengutip pengalaman sebanyak mungkin dan menjadikan pendedahan tersebut sebagai salah satu medan pembelajaran untuk menjadikan mereka pemain yang lebih baik.

“Selepas sesi pemilihan pemain diadakan baru-baru ini, siri jelajah Perth merupakan langkah pertama bagi mempersiapkan pasukan ini menuju ke misi utama pasukan iaitu mara ke separuh akhir Piala Dunia Remaja 2023.

“Beberapa siri jelajah lain juga sedang diatur dan bukan itu sahaja, terdapat juga beberapa kejohanan antarabangsa yang bakal disertai oleh pasukan seperti Piala Asia Remaja yang masih belum dimuktamadkan lagi tarikh dan venue kejohanan, Sukan SEA Kemboja dan Piala Sultan Johor 2023 sebelum menuju ke Piala Dunia Remaja Lelaki 2023, Kuala Lumpur,” katanya dalam kenyataan sama.

Daripada 20 pemain berusia dalam lingkungan 17 hingga 20 tahun yang disenaraikan, dua daripadanya merupakan penjaga gol, enam pemain pertahanan, enam pemain tengah sementara enam lagi merupakan penyerang. – BERNAMA

Loading...
Terkini