comscore
Tumpuan :
Sukan

Skuad B17 negara tamatkan kempen dengan satu kemenangan

Foto : FAM/ Facebook


KUALA LUMPUR – Skuad bawah 17 tahun negara menamatkan kempen Piala Asia B17 dengan satu kemenangan selepas mengatasi Laos 2-1 pada aksi terakhir kumpulan A.

Walaupun peluang Malaysia sudah tertutup selepas tewas dua perlawanan awal kepada Yemen dan Thailand, Malaysia tetap turun dengan misi mencari kemenangan pada aksi yang berlangsung di Stadium Thammasat.

Pada aksi terbabit, Malaysia mendominasi bahagian awal permainan dan peluang terbaik negara hadir pada minit ketujuh menerusi sepakan percuma, namun percubaan lencong Ahmad Danial Razali sekadar hinggap di palang.

Laos mengejutkan Malaysia dengan gol pembukaan pada minit ke-12 selepas percubaan dari luar kotak penalti Sayfon Keohanam terbias pertahanan negara yang mengelirukan penjaga gol negara, Muhammad Farish Farhan.

Tandukan Adib Ibrahim Adnan daripada sepakan sudut pada minit ke-19 pula berjaya ditangkap kemas Soulisak Manpaseuth sebelum Manpaseuth sekali lagi menafikan percubaan Muhamad Nabil Fitri (m31).

Gol penyamaan yang juga gol pertama skuad negara pada kempen kali ini akhirnya muncul pada minit ke-42 selepas Muhamad Dainei Disa menyudahkan hantaran lintang Muhammad Aiman Yusuf menerusi satu tandukan menewaskan Manpaseuth.

Bersambung babak kedua, Malaysia mensia siakan peluang untuk memimpin perlawanan pada minit ke-48 apabila percubaan Raja Norfirdaus Raja M Nor ketika pintu gol sudahpun ‘ternganga’ melambung tinggi.

Penguasaan babak kedua oleh skuad negara membuahkan hasil selepas Malaysia berjaya meraih gol kemenangan pada minit ke-77, sekali lagi menerusi tandukan Dainei hasil hantaran lintang Muhammad Zainurhakimi Zain.

Penamat tempat ketiga yang diraih Malaysia menyaksikan skuad B17 negara memperbaiki kedudukan tercorot dalam kumpulan yang dialami pada kempen 2018.

Loading...
Terkini