comscore
Tumpuan :
Sukan

Skuasy Malaysia buktikan kehebatan selaku jaguh Asia

Pemain Malaysia bergambar bersama selepas merangkul Kejuaraan Skuasy Berpasukan Asia di Dalian, China. – FOTO: SRAM

KUALA LUMPUR: Hari gemilang buat sukan skuasy negara apabila menyapu bersih gelaran lelaki dan wanita Kejuaraan Berpasukan Asia di Dalian, China.

Selepas pasukan wanita yang diketuai Sivasangari menewaskan juara bertahan Hong Kong 2-0, kejayaan itu dituruti skuad lelaki, juga mengalahkan Hong Kong 2-1.

C.Ameeshenraj yang membuat penampilan pertama bersama skuad kebangsaan, muncul wira apabila meraih mata kemenangan menumpaskan Tang Ming Hong 8-11, 11-8, 11-6, 11-4 dalam perlawanan sengit yang berlarutan 58 minit itu.

Terdahulu Malaysia mencatat mata pertama menerusi juara Asia Ng Eain Yow yang mudah menundukkan  Lau Tsz Kwan11-7, 11-8, 11-8.

Hong Kong bagaimanapun bangkit mengikat kedudukan 1-1 hasil kemenangan Leung Chi Hin ke atas Addeen Idrakie 4-11, 11-7, 11-2, 11-7.

Ini kejuaraan kali keempat skuad lelaki negara selepas melakukannya pada 2006, 2008 dan 2021.

Bagi Ameeshenraj yang baru mencecah usia 20 tahun, kejuaraan ini ditujukan kepada ayahnya M.Chandran bertepatan dengan sambutan Hari Bapa hari ini.

“Penampilan pertama yang paling diingati dan muncul pemenang pada Hari Bapa sesuatu yang istimewa, ayah ini untuk anda,” ujar Ameeshenraj.

Bagi pengurus pasukan Nafzahizam Adnan, Malaysia berjaya mengembalikan statusnya selaku kuasa Asia.

“Tahun lalu skuad lelaki hanya menang gangsa di Sukan Asia Hangzhou, hari ini mereka menampilkan kecemerlangan.

“Pasukan wanita pula meneruskan kehebatan selepas menang emas Sukan Asia.

“Kita memiliki ramai pemain berbakat  dalam kedua-dua pasukan, ini petanda baik untuk masa depan,” kata  Nafzahizam.

Nafzahizam juga berbangga dengan penampilan Ameeshenraj berjaya memperagakan sikap positif biarpun berdepan lawan lebih berpengalaman.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini