comscore
Tumpuan :
Sukan

Speedy Tigers perit hadam kekalahan, belajar untuk bangkit di Sukan Asia bulan depan

Foto : Asian Hockey Federation / Facebook

CHENNAI: Jurulatih pasukan hoki kebangsaan, A. Arulselvaraj tidak menyembunyikan kekecewaannya apabila Malaysia tewas di tangan India dalam perlawanan akhir Trofi Juara-Juara Asia (ACT) semalam, namun tetap mengakui lawan berada di tahap yang lebih baik.

Gelaran juara berada di dalam genggaman Speedy Tigers apabila mendahului tuan rumah 3-1 pada satu ketika, tetapi dirampas India yang bangkit mengubah keputusan di penghujung permainan 4-3.

“Kekalahan ini amat susah untuk diterima, tetapi kita ambil dengan ketabahan, untuk belajar, kita datang sini motif utama kita adalah untuk supaya tiada kecederaan, sebab tujuh perlawanan dalam 10 hari memang susah, tetapi banyak yang kita buat dengan bagus,” kata Arulselvaraj.

Foto : Asian Hockey Federation / Facebook

Anak buahnya tampil memadam jaringan sudut penalti pendahuluan Jugraj Singh minit kesembilan menerusi penyudah Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal lima minit berselang.

Keyakinan Malaysia semakin menebal di suku kedua menyaksikan giliran Muhammad Razie Abd Rahim dan Muhammad Aminuddin Mohd Zain menyerlahkan ketajaman pukulan sudut penalti masing-masing minit ke-18 dan 28.

Cuma kesilapan pemain negara yang ghairah melakukan serangan balas selepas mematahkan gerakan lawan memakan diri apabila dihukum dengan tiga gol, bermula penalti Harmanpreet Singh minit ke-45.

Disusuli gol padang Gurjant Singh beberapa saat kemudian seterusnya jaringan kemenangan padang Akashdeep Singh empat minit sebelum aksi tamat.

“Kena usaha belajar buat keputusan di saat genting bawah tekanan, sebab semua tahu India ni nombor empat dunia, dan sentiasa bermain dengan perlawanan intensiti tinggi demikian dengan Belgium, Belanda dan Australia sebagainya” tambah jurulatih berusia 49 tahun itu.

Secara keseluruhan, beliau menganggap Malaysia mempamerkan peningkatan dari segi permainan dan juga memperbaiki ranking dunia FIH dengan naik satu anak tangga ke posisi sembilan.

Sepanjang tujuh perlawanan yang dilalui di Mayor Radhakrishnan Stadium sejak 3 Ogos lalu, Malaysia menewaskan Pakistan, Jepun, China serta dua kali mengatasi Korea Selatan namun dua kali juga ditewaskan India.

Justeru, ia perlu menjadi pengalaman dan iktibar berguna kepada pemain apabila kesemua mereka bertarung semula di Sukan Asia di Hangzhou, China bulan depan yang menawarkan slot automatik ke Temasya Olimpik 2024 Paris kepada pemenang pingat emas.

Loading...
Terkini