comscore
Tumpuan :
Sukan

Kuhan dilantik penasihat pukulan sudut penalti Speedy Tigers

Kuhan ketika mewakili skuad hoki negara. – FOTO: NSTP

 

KUALA LUMPUR: Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) bersetuju melantik bekas kapten skuad negara, S Kuhan sebagai penasihat pukulan sudut penalti bagi meningkatkan lagi prestasi Speedy Tigers.

Presidennya, Datuk Seri Subahan Kamal berkata, Kuhan bukan sekadar berkongsi pengetahuan dengan pemain, malah akan bekerjasama dengan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Skuad Kebangsaan, Datuk Ahmad Najmi Razak untuk mendapatkan bekas pemain terkemuka antarabangsa bagi menyelesaikan masalah pukulan sudut penalti yang membelenggu skuad negara.

“Selaku seorang bekas pakar pukulan sudut penalti Malaysia, Kuhan bersetuju untuk membantu bukan sahaja skuad lelaki dan wanita kebangsaan, tetapi pasukan remaja.

“Selain itu dia akan diberikan tugas untuk mencari penyelesaian dan bagaimana untuk mendapatkan khidmat pakar antarabangsa untuk membantu kami.

“Kami sudah melakukan libat urus dengan seorang dua pemain hoki legenda yang mewakili dan membantu negara masing-masing memenangi pingat Sukan Olimpik dan Piala Dunia untuk membantu kami secara sambilan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Subahan berkata, KHM melantik Brian G Fernandez sebagai sebagai Ketua Projek Piala Dunia Remaja 2023.

Beliau berkata, Brian yang sebelum ini pengurus kejohanan KHM akan mula melaporkan diri pada 2 Februari ini bagi membantu melancarkan penganjuran kejohanan berkenaan.

“Saya ada berita baik apabila seorang staf yang sebelum ini bersama kami bersetuju untuk kembali dengan KHM. Individu itu adalah Brian G Fernandez.

“Saya gembira dan teruja dengan kehadirannya. Dia akan memulakan tugas 2 Februari ini dan akan dilantik sebagai Ketua Projek Piala Dunia Remaja 2023.

“Beliau ada pengalaman luas dan saya cukup yakin dengan kepimpinannya mampu membantu kita berurusan dengan FIH (Persekutuan Hoki Dunia) untuk anjur kejohanan ini dengan lebih baik,” katanya.

Brian pernah menjawat beberapa jawatan besar dalam FIH dan Persekutuan Hoki Asia (AIH) iaitu Pengarah Acara FIH bagi tempoh 2018-2022, selain pernah menjadi jawatankuasa pertandingan AFH. – HARIAN METRO

Loading...
Terkini