comscore
Tumpuan :
Sukan

TENIS – Djokovic mara separuh akhir Terbuka Australia

Pemain Serbia, Novak Djokovic meraikan kejayaan mara ke separuh akhir Terbuka Australia selepas menewaskan Andrey Rublev di Melbourne, sebentar tadi. – Foto: AFP

MELBOURNE: Novak Djokovic mara ke separuh akhir Terbuka Australia di sini, sebentar tadi, selepas menumbangkan pilihan kelima, Andrey Rublev sekali gus meneruskan pemburuan gelaran di Melbourne buat kali ke-10.

Pemenang Grand Slam sebanyak 21 kali itu berada pada tahap terbaik apabila merakam kemenangan 6-1 6-2 6-4 ke atas pemain Russia itu dalam tempoh 2 jam dan tiga minit untuk kemenangan ke 26 berturut turutnya bagi kejohanan terbabit.

Djokovic lebih dominan ketika memegang servis dan kerap kali memberikan tekanan kepada Rublev dengan dia langsung tidak menunjukkan tanda bergelut dengan masalah kecederaan yang memberikan masalah kepadanya sebelum ini.

Pemain Serbia itu mencatat 14 ‘ace’ serta 32 pukulan kemenangan untuk menempah pertemuan dengan pemain ke-35 dunia dari Amerika Syarikat, Tommy Paul yang menewaskan Ben Shelton.

Dua pemain itu akan merebut tiket ke final untuk bertemu sama ada Stefanos Tsitsipas atau Karen Khachanov di pentas penentuan nanti.

“Persembahan hari ini mirip dengan persembahan ketika dua malam lalu (pusingan keempat). Saya gembira dengan apa yang sudah ditunjukkan,” kata Djokovic.

“Saya bermain dengan mantap di gelanggang ini dan saya gembira beraksi dalam keadaan ini.” – AGENSI

Loading...
Terkini