comscore
Tumpuan :
Sukan

TMJ tak halang pemain JDT sertai Harimau Malaya

FOTO: Johor Southern Tigers / Facebook

KUALA LUMPUR: Pemilik Kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menepis dakwaan sesetengah pihak yang menganggap dirinya menghalang barisan pemain Harimau Selatan untuk menyertai skuad Harimau Malaya.

Jelasnya, beliau sendiri memberi peluang kepada Harimau Malaya menggunakan kemudahan dan fasiliti di JDT sekiranya kem latihan pusat diadakan dalam kalendar Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Bagaimanapun, jika ia dilangsungkan di luar kalendar FIFA, Tunku Ismail memilih tidak membenarkan kerana ia tidak memberi faedah.

“Saya sentiasa mengizinkan dan menyokong sepenuhnya, tetapi kalau tak ada dalam jadual FIFA, bagi pandangan saya sebagai orang yang membayar gaji pemain, saya rasa benda itu tak ada faedah dan membuang masa.

“Dalam FIFA kalendar atau mana-mana pertandingan FIFA, memang saya bukan saja memberi pemain-pemain tetapi saya sedia menawarkan kepada pasukan kebangsaan apa saja teknologi yang ada di JDT dan fasiliti yang ada,” katanya ketika ditemui pada majlis perasmian projek penggantian rumput di Stadium Nasional Bukit Jalil, hari ini.

Terdahulu, pada saingan Piala AFF hujung tahun lalu, skuad Harimau Malaya terpaksa beraksi tanpa pemain utama JDT yang menolak panggilan pasukan kebangsaan dengan alasan saingan serantau itu dianjurkan di luar kalendar FIFA.

Sebaliknya hanya ada pemain yang jarang beraksi menyertai skuad kendalian Kim Pan-gon iaitu Safawi Rasid dan situasi itu mendapat pelbagai reaksi peminat yang menuding jari kepada Tunku Ismail.

Bagaimanapun kem latihan yang berlangsung dalam kalendar FIFA ketika ini, menyaksikan hampir 11 pemain JDT dilepaskan termasuk dibenarkan untuk menggunakan kemudahan dan Stadium Sultan Ibrahim (SSI) untuk kegunaan pasukan negara.

Skuad Harimau Malaya dalam rangka persiapan untuk menghadapi dua aksi persahabatan antarabangsa menentang Turkmenistan dan Hong Kong pada 23 dan 28 Mac ini di SSI.

Loading...
Terkini