comscore
Tumpuan :
Sukan

Tunggakan gaji dua import masih sangkut

UCHE Agba (kanan) ketika menyarung jersi Sarawak United pada musim 2021.

KUALA LUMPUR: Bukan sahaja berhutang dengan barisan kejurulatihan, malah Sarawak United sebenarnya turut masih gagal menjelaskan tunggakan gaji bekas pemain importnya membabitkan Uche Agba dan Sandro da Silva.

Perkara itu disahkan peguam yang mewakili dua pemain berkenaan, Zhafri Aminurashid kepada Arena Metro, dengan kes tonggak terbabit sudah dilaporkan kepada Fifa.

Malah, kes Sandro yang sudah diputuskan Fifa pada tahun lalu di mana Sarawak United diarahkan untuk menjelaskan pembayaran penuh dilihat masih berdegil apabila hanya membayar minimum sekitar RM40,000, dengan nilai tunggakan sebenar sebanyak RM150,000.

Manakala, prosiding kes Uche pula akan mula didengar diperingkat Fifa pada 31 Mac ini, di mana tunggakan yang gagal dibayar berjumlah RM160,000.

“Kes Sandro ini, Fifa dah arahkan pembayaran pada tahun lalu tapi mereka hanya bayar minimum sahaja. Jadi jika masih gagal selesaikan sehingga sekatan perpindahan pemain habis pertengahan tahun ini, kami akan heret sekali lagi ke Fifa untuk tindakan lanjut.

“Untuk Uche pula, kes dia akan didengar pada hujung bulan ini. Ini langkah yang perlu diambil selepas Sarawak United seolah tidak serius untuk selesaikan tuntutan pemain kami,” katanya.

Untuk rekod, Fifa sebelum ini menyatakan Sarawak United gagal mematuhi obligasi kewangan mengikut keputusan yang diputuskan oleh badan induk itu terhadap kes Sandro pada tahun lalu.

Ia sekaligus menyaksikan Fifa membuat sekatan perpindahan pemain tempatan dan asing untuk tiga jendela perpindahan bermula Jun lalu.

Loading...
Terkini