comscore
Tumpuan :
Sukan

Tze Yong cedera, terlepas Terbuka India, Masters Indonesia

FOTO NSTP

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong terpaksa melupakan aksi di Terbuka India (16 hingga 21 Januari) dan Masters Indonesia (23 hingga 28 Januari) susulan kecederaan belakang yang dialaminya ketika pusingan pertama PETRONAS Terbuka Malaysia.

Pakar Perubatan Institut Sukan Negara (ISN), Dr Jasmiza Khuzairi Jasme yang merawat pemain berusia 24 tahun itu, berkata hasil ujian ultrasound dilakukan, hari ini, Tze Yong disahkan mengalami kecederaan otot tulang belakang dan memerlukan tempoh dua hingga tiga minggu untuk pulih sepenuhnya.

Justeru, beliau menasihatkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) supaya tidak menghantar pemenang pingat perak Sukan Komanwel Birmingham 2022 itu menyertai saingan Terbuka India dan Masters Indonesia bagi membolehkan pemain berkenaan menjalani rawatan pemuilihan.

Pemain perseorangan negara, Ng Tze Yong menarik diri ketika menentang pemain Jepun, Koki Watanabe kerana cedera pada PETRONAS Terbuka Malaysia di Axiata Arena Bukit Jalil. – Foto: NSTP

“Sebagai langkah berjaga-jaga dan selepas berbincang dengan BAM, kita secara bersama bersetuju untuk Tze Yong tidak menyertai Terbuka India dan Masters Indonesia bagi membolehkan dia menjalani rawatan dan proses pemulihan terlebih dahulu.

“Kita menjangkakan Tze Yong akan pulih sepenuhnya dan kembali berlatih seperti biasa dalam tempoh dua hingga tiga minggu,” katanya

Ini bermakna misi Tze Yong untuk memburu tiket ke Sukan Olimpik Paris 2024 ‘terganggu’ seketika.

Menurut Dr Jasmiza yang juga pasukan perubatan Program Road to Gold (RTG) ke Sukan Olimpik Paris 2024, pihaknya akan merangka program pemulihan mengikut kesesuaian dan perkembangan kecederaan yang dialami pemain berkenaan.

Tze Yong terpaksa menarik diri ketika set pertama menentang wakil Jepun, Koki Watanabe di Terbuka Malaysia susulan kecederaan belakang dialaminya selepas melakukan pukulan ‘smash’.

Ketika ini, Tze Yong berada di kedudukan ranking ke-13 dan memburu tempat ke Sukan Olimpik Paris, ketinggalan dua anak tangga di belakang pemain perseorangan lelaki profesional, Lee Zii Jia.

Setiap negara boleh mempunyai maksimum dua wakil dalam acara perseorangan lelaki sekiranya berada dalam kelompok 16 terbaik sebaik tamat pusingan kelayakan pada hujung April depan.

Loading...
Terkini