comscore
Tumpuan :
Super Highlight

Petronas sahkan insiden kebakaran di saluran paip gas Sabah-Sarawak

Anggota Bomba di lokasi insiden di Long Ugui, petang tadi. – FOTO : Ihsan Bomba Sarawak

KUALA LUMPUR : Petroliam Nasional Bhd (Petronas) mengesahkan “insiden kebakaran” berlaku di Saluran Paip Gas Sabah-Sarawak (SSGP) “berhampiran KP 132, berdekatan Lawas,” Sarawak pada lewat tengah tadi.

Petronas berkata, kejadian itu dipercayai melibatkan kontraktor pihak ketiga yang melakukan kerja-kerja “tidak berkaitan dengan operasi SSGP berhampiran kawasan izin lalu (ROW) saluran paip.”

“Laporan polis telah dibuat berhubung kejadian ini dan siasatan menyeluruh akan dilaksanakan,” katanya dalam satu kenyataan.

Syarikat minyak dan gas milik negara itu berkata ia telah menggerakkan pasukan bertindak kecemasan ke kawasan insiden berkenaan.

“Petronas sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dalam mengawal situasi serta memastikan keselamatan komuniti dan kawasan sekitarnya,” katanya.

Sebelum itu, media melaporkan seorang maut manakala dua lagi cedera selepas SSGP Petronas di Long Ugui, Lawas meletup pada kira-kira 2 petang tadi. – BERNAMA

Loading...
Terkini