comscore
Tumpuan :
Tragedi

Suami maut, isteri parah dirempuh kereta

Foto: Ihsan Polis

PETALING JAYA: Seorang lelaki meninggal dunia, manakala isterinya cedera parah selepas motosikal dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan dengan kereta di Kilometer 16.7 Lebuhraya Lembah Klang Baru (NKVE) dari Damansara menghala ke Subang, semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, berkata polis menerima maklumat berhubung kejadian itu jam 10.52 pagi semalam.

Kemalangan mengakibatkan pasangan suami isteri masing-masing berusia 32 dan 38 tahun itu cedera parah dan kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk menerima rawatan.

Siasatan awal mendapati kemalangan itu berlaku apabila motosikal jenis Honda FS150FJ dinaiki mangsa datang dari arah sama dengan sebuah kereta Perodua Ativa.

“Sebaik melepasi susur keluar Damansara menghala ke Subang kereta yang dipandu di hadapan motosikal itu mahu mengubah haluan ke kanan, namun ada lori di laluan kanan, motosikal terbabit gagal mengelak dan berlakunya pelanggaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, penunggang motosikal terbabit disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan hari ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi pegawai penyiasat trafik, Inspektor Rina Murniza Ibrahim di talian 013-9738580 bagi membantu siasatan.

Loading...
Terkini