comscore
Tumpuan :
Tular

‘Kami Tidak Paksa Pelakon Remaja Cerita Pengalaman Hidup’

KUALA LUMPUR: Pemilik sebuah kandungan digital Youtube menjelaskan bahawa pihaknya tidak memaksa seorang pelakon remaja untuk menceritakan mengenai pengalaman hidupnya sehingga video itu tular, baru-baru ini.

Sebaliknya, mereka berkata, pelakon itu sendiri yang mahu berkongsi kisah hidup.

Mereka memberi reaksi itu menerusi hantaran di Instagram (IG) lewat malam tadi susulan artikel Harian Metro bertajuk ‘Youtuber eksploitasi pelakon remaja perlu diambil tindakan’.

Artikel itu melaporkan kenyataan Presiden Majlis Kebajikan Kanak-Kanak Malaysia, Datuk Dr. Raj Karim yang menyifatkan perbuatan menyiarkan video berkenaan adalah suatu bentuk eksploitasi seksual dan pihak berkaitan perlu diambil tindakan

Menurut Raj, mereka tidak mempunyai hak untuk menyiarkan pendedahan remaja itu kerana tindakan didakwa dilakukan bapa pelakon terbabit adalah suatu bentuk perbuatan jenayah.

Mengulas kenyataan itu, pemilik kandungan itu memaklumkan pendedahan pelakon remaja berkenaan adalah di luar jangkaan pihaknya.

Mereka turut menegaskan bahawa pihaknya sudah mendapat keizinan dan persetujuan daripada pelakon terbabit sebelum memuat naik video berkenaan.

Menerusi hantaran sama, mereka turut menyangkal dakwaan pihak yang mengatakan perkongsian video di YouTube membabitkan pelakon terbabit bertujuan mengejar tontonan yang tinggi.

Terdahulu, tular video pelakon remaja ditemu bual dalam sebuah saluran YouTube, mendakwa dirinya menjadi mangsa gangguan seksual bapanya sendiri.

Susulan, Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat dipetik berkata, pihaknya menerima laporan dibuat remaja berusia 15 tahun itu jam 10.25 malam kelmarin.

Katanya, laporan diterima pihaknya menyatakan dakwaan mangsa diganggu secara seksual oleh bapa kandungnya, serta tidak menjaga kebajikan remaja terbabit.

Kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul, Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak Kanak 2001 kerana mengabaikan seorang kanak-kanak dan Seksyen 292 Kanun Keseksaan bagi kesalahan memiliki bahan lucah.

Dalam pada itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim turut mengesahkan bapa pelakon remaja terbabit membuat laporan polis bagi menafikan dakwaan berkenaan di Balai Polis Bandar Baharu, Kedah, pada 4 September lalu.

Isu berkenaan turut mendapat perhatian Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang sedia memanggil pelakon terbabit, jika ada laporan dibuat.-HARIAN METRO

Loading...
Terkini