comscore
Tumpuan :
Nasional

Ahmad Fadhli mohon maaf kepada Youtuber kerana kongsi video tanpa kebenaran

Ketua Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari.

KOTA BHARU: Ketua Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari hari ini memohon maaf kepada seorang YouTuber kerana menyiarkan kandungan YouTube tanpa kebenaran.

Video berdurasi 15 minit 11 saat itu  memaparkan seorang YouTuber menemuramah beberapa individu di Negeri Sembilan yang memberi pandangan mengenai Perikatan Nasional (PN) dan UMNO menjelang pilihan raya negeri (PRN) akan datang yang dikongsi kembali Ahmad Fadhli menerusi TikTok dan Facebook miliknya pada Isnin lalu.

Ahmad Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas berkata beliau mohon maaf jika terdapat sebarang kesulitan dihadapi pemilik video berikutan isu itu.

“Saya maklum satu laporan polis dibuat terhadap saya atas dakwaan menyiarkan kembali satu video dari YouTube ke akaun FB dan TikTok milik saya.

Kandungan video yang dimuat naik di FB disiarkan dengan versi penuh dan disertakan sekali pautan asal sebagai kredit kepada pemilik video.

Kandungan di TikTok tidak dapat disiarkan penuh kerana limitasi 10 minit yang dikenakan.

Walau bagaimanapun, video itu saya turunkan supaya tidak mendatangkan salah faham berpanjangan,” katanya menerusi satu kenyataan di laman Facebooknya, hari ini.

Ahmad Fadhli berkata beliau mendapat nasihat peguam yang berpandangan tiada apa-apa kesalahan yang dilakukan berikutan video yang disiarkan di YouTube itu sendiri tidak dilindungi oleh mana-mana hak cipta.

Beliau berkata tiada sebarang perlindungan dikenakan oleh pemilik jika mana-mana pihak ingin berkongsi kandungan itu.

“Beberapa pihak di Negeri Sembilan juga sudah mengenal pasti salah seorang yang ditemuramah yang sedia tampil membuat tindakan undang-undang ke atas pemilik video atas dakwaan menyiarkan wajahnya tanpa kebenaran jika perkara ini berlanjutan di meja undang-undang.

Kami juga sedang mengenal pasti individu lain yang terbabit.

Saya tidak ingin berkonfrontasi dengan pemilik video terbabit bahkan meraikan daya kreativiti yang ada pada beliau,” katanya.

Beliau berharap YouTuber itu terus menghasilkan video sedemikian dan menyemarakkan industri kreatif dunia maya dalam negara.

Loading...
Terkini