comscore
Tumpuan :
Mahkamah

[VIDEO] Mahkamah tolak permohonan sambung reman tiga polis ‘minta RM100’

IPOH: Mahkamah Majistret di sini hari ini menolak permohonan sambung reman tiga anggota polis yang ditahan berhubung kejadian tular polis trafik meminta wang RM100 daripada pasangan pelancong warga United Kingdom (UK) bagi menyelesaikan saman kesalahan trafik, baru-baru ini.

Majistret Siti Nora Sharif menolak permohonan sambung reman terhadap tiga-tiga anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak berusia antara 37 hingga 42 tahun itu.

Ketiga-tiga mereka sebelum ini ditahan reman tiga hari bermula Selasa lalu (30 Januari) dan berakhir hari ini bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan, Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988.

FOTO: NSTP

Permohonan sambung reman yang dikemukakan hari ini adalah bagi membantu siasatan kejadian itu di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands.

Terdahulu, tiga mereka dilihat memasuki kamar Mahkamah Majistret, di sini kira-kira jam 1.18 tengah hari tadi sebelum dilihat keluar dari kamar itu kira-kira 40 minit kemudian.

Sementara itu, Muhammad Al-Hirzan Mahamad Akhir dan Aqmarul Aqil Ismail iaitu peguam yang mewakili ketiga-tiga suspek memberitahu bahawa permohonan sambung reman ke atas anak guam mereka itu ditolak mahkamah dengan antara alasan yang dikemukakan ketika prosiding adalah berkaitan tiada mangsa yang tampil selain beberapa lagi isu teknikal lain.

Dalam pada itu, Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri ketika dihubungi bagi mengulas perkara itu berkata, ketiga-tiga suspek akan dibebaskan dengan jaminan polis namun siasatan masih diteruskan.

Siasatan kes itu diambil alih oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, selain siasatan dalaman juga dijalankan oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman.

Dalam kejadian tular itu, seorang anggota trafik dilihat menahan kenderaan pelancong yang dalam edisi jelajah Malaysia dan menawarkan bayaran saman RM100 jika saman itu dibayar di lokasi kejadian berbanding RM300 jika dibayar di balai polis bagi kesalahan memandu melebihi had laju.

Kejadian itu membabitkan pasangan pelancong dari UK yang juga pencipta kandungan media sosial YouTube atau ‘Youtuber’ dengan kejadian itu juga sempat dirakam dan dimasukkan dalam saluran ‘channel’ YouTube milik pasangan itu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini