comscore
Tumpuan :
Nasional

Nasib jurulatih tampar pemain diputuskan lusa

Shanmugam pada sidang media berhubung isu jurulatih tampar pemain wanita bawah 14 tahun. – FOTO: NSTP

MELAKA: Keputusan sama ada menggantung tugas jurulatih pasukan bola tampar Wanita Melaka Bawah 14 Tahun (B14) berhubung insiden menampar dua pemainnya akan diputuskan selepas mesyuarat pasca Exco, pada Rabu ini.

Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, VP Shanmugam berkata, setakat ini tiada tindakan diambil Majlis Sukan Negeri Melaka (MSN) terhadap jurulatih berkenaan meskipun Persatuan Bola Tampar Malaysia (MAVA) sudah memutuskan tindakan menggantung guru terbabit dalam semua aktiviti bola tampar kebangsaan.

Katanya, pihaknya perlu mendapatkan maklumat dan keterangan lanjut daripada semua pihak walaupun laporan penuh kejadian itu sudah dihantar kepada MSN semalam dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) esok.

“Rabu ini selepas mesyuarat pasca Exco, saya akan panggil jurulatih, dua pemain berkenaan, wakil MSN dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), pengurusan pertandingan, Persatuan Bola Tampar Negeri Melaka (PBTNM) dan beberapa lagi pihak terbabit untuk meneliti apakah ada tindakan selanjutnya akan diambil seperti diputuskan MAVA.

“Jika semuanya diselesaikan dengan cara baik, tiada tindakan lanjut akan diambil terhadap jurulatih terbabit.

“Saya selaku Exco bertanggungjawab akan lakukan yang terbaik untuk selesaikan,” katanya pada sidang media hari ini, sambil mengesahkan masih belum menerima laporan daripada MAVA berhubung tindakan itu.

Beliau diminta mengulas kenyataan MAVA semalam yang menggantung sementara jurulatih terbabit yang tular kerana menampar dua pemainnya ketika Kejohanan Remaja B-14 di Kota Tinggi, Johor pada 14 hingga 16 Disember lalu.

Isu berkenaan turut mendapat perhatian Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan Kementerian Pendidikan yang membidas tindakan jurulatih.

Mengulas lanjut, Shanmugam berkata, sebenarnya isu berkenaan sudah selesai pada hari kejadian 16 Disember lalu apabila jurulatih memohon maaf kepada dua pemain itu sejurus tamat saingan separuh akhir itu.

Katanya, jurulatih yang juga guru sebuah sekolah menegah di sini juga menemui kedua-dua ibu bapa pemain terbabit bagi memohon maaf atas insiden itu serta menjelaskan perkara yang sebenarnya terjadi.

“Saya anggap perkara ini sudah diselesaikan apabila ibu bapa dan pemain menerima permohonan maaf jurulatih itu secara sukarela dan tidak membuat sebarang laporan polis,” katanya.

Katanya, berdasarkan rekod, ini kejadian pertama yang berlaku sejak guru terbabit menjadi jurulatih pemain terbabit sejak di bangku sekolah rendah hingga ke sekolah menengah.

“Dia adalah seorang jurulatih dan guru yang amat berdedikasi dan melatih pasukan bawah 14 tahun ini bukan sehari dua, malah sejak sekolah rendah dan menganggap pemainnya macam anak sendiri.

“Apapun perbuatan tampar itu tidak sepatutnya berlaku, tapi bila masuk pertandingan dalam kedudukan jurulatih, pemain yang berprestasi baik tiba-tiba jatuh, mungkin itu membuatkannya marah tapi tidak sampai mencederakan.

“Tambahan pula ini kali pertama pasukan bola tampar Melaka berjaya melayakkan diri ke separuh akhir,” katanya yang turut meminta video berkaitan tidak ditularkan lagi.

Loading...
Terkini