comscore
Tumpuan :
Sukan

Kerajaan Melaka panggil jurulatih disyaki tampar dua pemain

Oleh Baharuddin Mohamed

MELAKA: Sebarang keputusan untuk menggantung atau menamatkan khidmat jurulatih yang dikatakan terlibat dalam insiden menampar dua pemainnya baru-baru ini, akan ditentukan selepas Rabu ini.

Exco Belia dan Sukan negeri, V.P. Shanmugam berkata, ia akan diputuskan apabila semua pihak yang terlibat dipanggil selepas mesyuarat Exco Kerajaan Melaka memberi keterangan dan penjelasan berhubung insiden berkenaan.

Kata beliau, antara pihak yang akan dipanggil termasuk Majlis Sukan Negeri (MSN), Persatuan Bola Tampar Melaka, jurulatih, ibu bapa dan dua pemain terbabit.

“Kita akan memanggil jurulatih dan pihak yang berkenaan untuk mendapatkan penjelasan dan sebarang keputusan akan ditentukan selepas perjumpaan yang akan diadakan selepas mesyuarat Exco kerajaan negeri Rabu inj,” katanya kepada pemberita di Klebang di sini hari ini.

Menurut Shanmugan, pihaknya telah menerima laporan bertulis berhubung insiden itu semalam.

Mengikut laporan itu, jelasnya, isu berkenaan sebenarnya telah selesai pada hari kejadian tersebut pada 16 Disember lalu apabila jurulatih terbabit telah meminta maaf kepada dua pemain dan ibu bapa atlet berkenaan.

Jurulatih tersebut juga ujarnya, telah mengakui kesilapan ekoran terlalu emosi dan tertekan sepanjang kejohanan yang disertai pasukannya di Kota Tinggi, Johor pada 16 Disember lalu.

Ekoran kejadian itu juga, tambahnya, tiada laporan polis dibuat selepas semua pihak berpuas hati.

Bagaimanapun, katanya, isu tersebut kembali hangat apabila tular video jurulatih terbabit menampar dua pemainnya sejak semalam.

Beliau yakin isu tersebut dapat diselesaikan secara menang-menang oleh semua pihak terutama antara jurulatih, pemain dan ibu bapa mereka.

Semalam, Persatuan Bola Tampar Malaysia (MAVA) mengambil tindakan tegas apabila menggantung sementara jurulatih pasukan Melaka Bawah 14 Tahun (B14) wanita yang tular kerana menampar dua pemainnya.

MAVA turut akan menubuhkan jawatankuasa siasatan bagi menyiasat insiden itu segera.

Terdahulu, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh membidas tindakan seorang jurulatih yang dirakam menampar pemainnya ketika perlawanan.

Tular dalam media sosial itu menunjukkan jurulatih terbabit menampar dua pemainnya ketika Kejohanan Remaja B-14 di Kota Tinggi, Johor pada 14 hingga 16 Disember lalu.

Hannah berkata, beliau sudah menghubungi Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan mereka sedang mengumpul lebih banyak maklumat berhubung insiden itu.

Loading...
Terkini