comscore
Tumpuan :
Jenayah

Pengetua tabika akan dituduh esok kerana cuai

Foto hiasan

IPOH: Pengetua sebuah taman bimbingan kanak-kanak (TABIKA) akan dihadapkan ke mahkamah esok berhubung insiden seorang kanak-kanak lelaki umur empat tahun terjatuh ke dalam kolam mandi dan meninggal dunia lima hari kemudian.

Ketua Polis Ipoh, ACP Yahaya Hassan berkata polis sudah menerima arahan dari pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk menuduh pengetua itu di Mahkamah Majisteret di sini.

Menurut Yahaya, kes akan disiasat mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana mengabaikan seorang budak sehingga menyebabkan dia dipercayai mengalami kecederaan fizikal.

Pengetua itu umur 58 tahun ditangkap di Balai Polis Ipoh semalam.

Yahaya mengulas mengenai video tular berdurasi 30 saat yang dikesan di Facebook sejak awal hari ini.

Video itu dimuat naik oleh pengguna atas nama “Sathruhan Manian’ mendakwa polis tidak menjalankan siasatan telus berhubung kematian kanak-kanak itu.

23 April lalu, ibu kepada kanak-kanak itu mengadakan sidang media mendakwa insiden berlaku akibat kecuaian pihak pengurusan Tabika berkenaan.

Menurut D.Nilaveni, 40, satu-satunya anak beliau V. Thanes Nair meninggal dunia pada 23 April lalu di Hospital Raja Permaisuri Bainun pada kira-kira jam 10.35 pagi selepas menerima rawatan pada hari kejadian pada 17 April.

Tambah Yahaya, polis memandang serius maklumat palsu yang disebarkan pengguna terbabit di media sosial.

Katanya, pihaknya menerima laporan polis berhubung kejadian itu pada 18 April dan satu laporan kematian mengejut telah dibuka berhubung kematian kanak-kanak itu.

Beliau berharap orang awam tidak menggunakan media sosial untuk membuat tuduhan yang akan mengganggu siasatan dan kredibiliti polis.

Loading...
Terkini