comscore
Tumpuan :
Nasional

Tular: Polis buru 2 suspek kes samun pecah kereta 

Rakaman video tular menunjukkan dua lelaki menghampiri kereta dipandu seorang wanita di Jalan Desa 5, Desa Jaya, Gombak pada 14 November lalu sebelum memecah cermin kereta dan mengambil beg silang mangsa, baru-baru ini.

GOMBAK: Polis sedang memburu dua suspek kes samun pecah kereta di Jalan Desa 5, Desa Jaya, di sini, pada 14 November lalu yang kejadiannya tular di media sosial, baru baru ini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Gombak Superintendan Noor Ariffin Mohamad Nasir dalam satu kenyataan berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu jam 9.15 pagi, Selasa lalu.

“Menurut mangsa iaitu seorang wanita tempatan berusia 25 tahun, kejadian berlaku semasa dia dalam perjalanan ke tempat kerja sebelum keretanya dihampiri dua lelaki menaiki motosikal.

“Pembonceng motosikal terbabit kemudian memecahkan cermin bahagian hadapan kereta wanita terbabit dan mengambil beg silang mangsa sebelum melarikan diri,” katanya.

Beliau berkata, kejadian itu menyebabkan mangsa mengalami kerugian barangan berharga, namun dia tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan atas kesalahan melakukan samun berkawan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu boleh menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Nik Nor Aqeela Nik Abdullah di talian 019-9260203 atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak di talian 03-61262222 bagi membantu siasatan,” katanya.

Terdahulu, satu rakaman video berdurasi 40 saat menunjukkan dua lelaki menaiki motosikal memecah cermin kereta dipandu seorang wanita, tular di media sosial.

Loading...
Terkini