comscore
Tumpuan :
Nasional

Helikopter terhempas: Pengorbanan perwira negara melindungi tanah air terus dikenang – Zahid 

 

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menzahirkan rasa dukacita di atas insiden dua helikopter yang terhempas di Lumut, Perak pagi tadi.

Menurutnya, peristiwa itu bukan sahaja memberi kesan mendalam terhadap ahli keluarga mangsa tetapi turut menyentuh hati dan perasaan seluruh rakyat Malaysia.

“Hari ini seluruh rakyat Malaysia telah dikejutkan dengan berita sedih nahas sebuah Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan sebuah helikopter FENNEC TLDM yang terhempas semasa melakukan raptai Perbarisan Hari TLDM ke-90 di Pangkalan TLDM Lumut pada jam 9.32 pagi tadi.

“Saya mengucapkan takziah buat semua ahli keluarga mangsa yang terlibat dalam nahas tersebut dan berharap mereka diberikan kekuatan dan kesabaran dalam menghadapi ujian ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam kejadian itu, semua 10 kru masing-masing tujuh kru HOM-AW139 dan tiga lagi kru Fennec TLDM dilaporkan terkorban.

Mengulas lanjut, Datuk Seri Ahmad Zahid berkata, TLDM juga telah menyatakan bahawa satu Lembaga Siasatan akan ditubuhkan untuk mengenal pasti punca kejadian.

Justeru, beliau berharap orang ramai tidak menularkan video kejadian yang berlaku demi menjaga sensitiviti keluarga serta dapat mengganggu proses penyiasatan.

“Saya ingin zahirkan setinggi-tinggi penghargaan buat semua perwira negara yang terlibat di dalam nahas ini.

“Segala jasa, bakti dan pengorbanan yang dicurahkan untuk melindungi kedaulatan tanah air pastinya akan terus dikenang. Semoga segala urusan dipermudahkan olehNya,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini