comscore
Tumpuan :
Nasional

PEMATAP kesal laporan kait suspek tembakan KLIA dengan tahfiz, pondok

Suspek yang melepaskan tembakan di Balai Ketibaan KLIA1 ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Kota Bharu pada Selasa lalu.

IPOH: Persatuan Maahad Tahfiz Al-Quran Negeri Perak (PEMATAP) kesal terhadap laporan media berhubung insiden tembakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Ahad lalu yang mengaitkan suspek kes itu dengan institusi tahfiz atau pondok.

Pengerusi PEMATAP, Datuk Mohd Azlan Suhaimi berkata pihaknya menyatakan kekesalan terhadap pihak media yang mengeluarkan berita dengan tajuk mengaitkan suspek kes tembak itu dengan individu yang menghafaz atau ‘hafiz’ Al-Quran.

Menurutnya, tajuk sedemikian dilihat boleh memberi imej buruk kepada institusi tahfiz dan pondok.

“Antara perkara yang dimaklumkan menerusi sidang media oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman yang dibuat di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan adalah suspek itu fasih dengan ayat-ayat Al-Quran dan beliau sememangnya orang berkebolehan dalam agama dan pernah belajar di pondok di Kelantan.”

“Kami dapati, terdapat beberapa pihak media yang mengeluarkan berita berkaitannya dengan tajuk “Suspek kes tembak di KLIA hafiz Al-Quran” walaupun ada pihak media yang lain dilihat lebih cermat untuk mengeluarkan tajuk walaupun isi kandungan berita adalah hampir sama kerana bersumberkan sidang media polis,” katanya menerusi kenyataan.

Mohd Azlan berkata setiap individu yang melakukan jenayah tidak wajar dikaitkan dengan latarbelakang pendidikan individu itu; selain mengharapkan agar pihak media yang terbabit supaya lebih cermat dan sensitif dengan tajuk berita yang hendak dikeluarkan.

“Kita percaya bahawa mana-mana agama atau institusi sekali pun tidak mengajarkan untuk melakukan jenayah. Justeru kami berharap agar pihak media terbabit lebih cermat dan sensitif dengan tajuk berita yang hendak dikeluarkan yang membabitkan institusi agama Islam.”

“Ianya supaya tidak menimbulkan salah faham dalam masyarakat seterusnya memberi imej buruk kepada institusi terbabit,” katanya.

Terdahulu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan dilapor mengesahkan berlaku kejadian tembakan di Balai Ketibaan KLIA Terminal 1 sekitar jam 1.15 pagi Ahad lalu membabitkan seorang suspek lelaki yang identitinya dikenal pasti sebagai Hafizul Harawi, 38.

Tembakan dilepaskan suspek itu mengenai seorang lelaki yang juga pengawal peribadi hingga menyebabkan dia dilaporkan kritikal dan terpaksa ditidurkan.

Hussein Omar juga mengesahkan kejadian itu bersifat peribadi dan tidak membabitkan sebarang aktiviti keganasan atau mana-mana kumpulan.

Menerusi laporan beberapa media sebelum ini, Hafizul dinyatakan pernah belajar di pondok di Repek, Pasir Mas, dekat Kota Bharu, Kelantan; selain dinyatakan oleh polis bahawa suspek juga mempunyai pengetahuan agama apabila ujian yang dilakukan mendapati suspek fasih dengan ayat al-Quran dan merupakan seorang hafiz.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini