comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

TM batal langganan 20% kepentingan ekuiti dalam DNB

KUALA LUMPUR: Telekom Malaysia Bhd (TM) telah mengeluarkan notis penamatan kepada Digital Nasional Bhd (DNB), berkuat kuasa serta-merta, selaras dengan terma perjanjian langganan saham (SSA) untuk melanggan 20 peratus kepentingan ekuiti dalam DNB.

Ini berikutan tarikh lanjutan untuk memenuhi semua syarat duluan (CP) di bawah SSA telah luput, katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Penamatan SSA itu dijangka tidak memberi kesan ketara ke atas pendapatan, aset bersih dan gearan Kumpulan TM bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2023.

“Pelanggan TM akan terus menikmati perkhidmatan dan penyelesaian 5G kerana perjanjian akses borong 5G dengan DNB kekal utuh,” katanya.

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, TM sedang menantikan proses serta perbincangan seterusnya dengan kerajaan termasuk industri mengenai penyertaan 5G merentasi Fasa 1 (ke arah 80 peratus liputan perkhidmatan oleh DNB) dan Fasa 2 (peralihan kepada dua rangkaian) seperti yang diumumkan pada 3 Mei lepas.

“TM komited untuk terus memainkan peranan aktif dalam pelaksanaan 5G, memanfaatkan infrastruktur fiber di seluruh negara, platform digital yang luas (pusat data, nod tepi) dan pengalaman pelancaran.

“Kami komited untuk membentuk Malaysia Digital melalui teknologi yang memperkasakan komuniti, perniagaan dan kerajaan,” katanya.

BERNAMA

Loading...
Terkini