comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

88% kuota solar telah diagihkan untuk komersil & industri

Foto hiasan

Oleh: Afrina Romzi

KUALA LUMPUR: Sebanyak 88 peratus daripada 1,100 megawatt kuota solar telah diagihkan untuk pengguna kategori komersil dan industri.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata kerajaan telah memperkenalkan Pemeteran Tenaga Bersih (NEM) NOVA untuk pemasangan solar pada ruang bangunan tertentu yang tidak digunakan.

“Pemasangan sistem solar dibumbung bangunan seperti yang telah dilakukan oleh kumpulan IHH Healthcare Malaysia ini sewajarnya dicontohi oleh organisasi lain kerana ia memanfaatkan ruang bumbung bangunan yang sebelum ini tidak digunakan untuk menjana tenaga boleh baharu (TBB) selain mengelakkan pembangunan di kawasan tanah yang boleh digunakan untuk tujuan yang lebih strategik seperti keterjaminan sumber makanan,” katanya pada pelancaran sistem solar IHH Healthcare Malaysia hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif IHH Healthcare Malaysia, Jean-François Naa, berkata pelancaran sepenuhnya tenaga solar di semua rangkaian hospital IHH Healthcare Malaysia dijangka selesai menjelang akhir 2025.

Inisiatif ini merupakan kerjasama strategik bersama Ditrolic Energy, salah satu syarikat pemaju tenaga boleh diperbaharui yang terbesar di Malaysia dan Asia Tenggara.

“Kami mengakui bahawa penggunaan tenaga adalah faktor terbesar yang menyumbang kepada pelepasan gas rumah hijau. Kumpulan kami secara langsung menyumbang lebih daripada 75 peratus jejak karbon.

“Justeru, menerusi pemasangan panel solar di semua rangkaian hospital kami yang merangkumi Hospital Gleneagles, Hospital Pantai, Pusat Perubatan Prince Court dan Pusat Perubatan Timberland, kami berupaya untuk beralih kepada tenaga boleh baharu dan mengurangkan pelepasan gas rumah hijau,” katanya.

Dalam pada itu, Datuk Seri Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, berkata kementeriannya akan berbincang dengan Kementerian Kesihatan mengenai penggunaan panel solar di hospital kerajaan, bergantung kepada peruntukan mereka.

Langkah ini bertujuan mengalakkan hospital kerajaan untuk bekerjasama dengan pihak swasta seperti IHH Healthcare untuk pemasangan.

Untuk itu, perkongsian keuntungan dari segi pemuliharaan tenaga dapat dilaksana, di samping mengusahakan pensijilan perdagangan karbon.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini