comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Bank Dunia menyemak turun unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia 2023 kepada 3.9%

Oleh: Afrina Romzi

KUALA LUMPUR: Bank Dunia menyemak turun unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia kepada 3.9 peratus pada tahun ini daripada unjuran awal 4.3 peratus, berikutan penyusutan permintaan luar serta jangkaan pertumbuhan ekonomi global yang lebih rendah.

Ketua Ekonomi Malaysia, Bank Dunia, Dr Apurva Sanghi, berkata pengurangan 0.4 peratus daripada unjuran sebelum ini tidak mengejutkan dan boleh dinilai daripada prestasi eksport negara.

“Anda boleh lihat daripada eksport Malaysia telah menguncup sebanyak 3.3% dan 9.4% pada suku pertama dan kedua tahun ini,” katanya pada sidang media perkembangan terkini ekonomi Asia Timur dan Pasifik Oktober 2023 dan Bahagian Pertama Pemantauan Ekonomi Malaysia (MEM) September 2023 hari ini.

Tambah beliau, ekonomi Malaysia sensitif terhadap perubahan permintaan luar, terutama rakan dagang terbesar Amerika Syarikat (AS) dan China.

Bank Dunia menganggarkan penyusutan 1.0 mata peratusan dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) AS boleh mengurangkan pertumbuhan KDNK Malaysia sebanyak 0.82 mata peratusan. Manakala penurunan 1.0 mata peratusan dalam pertumbuhan KDNK China boleh menyeret KDNK Malaysia sebanyak 0.45 mata peratusan.

Eksport kasar dijangka menguncup sebanyak 5.8 peratus, berbeza dengan pertumbuhan 14.5 peratus pada 2022 berikutan prospek pertumbuhan global dan momentum perdagangan antarabangsa yang perlahan.

Bagaimanapun, bank itu mengunjurkan ekonomi negara bertumbuh 4.3 peratus tahun depan yang dijangka didorong pemulihan dalam pertumbuhan global, sektor pelancongan dan jangkaan harga minyak yang lebih tinggi.

Dalam pada itu, inflasi harga pengguna utama dijangka menyerdahana dalam julat 2.5 dan 3.0 peratus pada 2023. Ini terutamanya mencerminkan pengurangan kekangan bekalan global dan harga komoditi yang lebih stabil.

Walaupun pertumbuhan ekonomi Malaysia telah melepasi paras sebelum pandemik, kadar kemiskinan mutlak berada pada 6.2 peratus, iaitu lebih tinggi daripada kadar kemiskinan sebelum pandemik sebanyak 5.6 peratus.

Hampir 490,000 isi rumah Malaysia isi rumah hidup di bawah paras kemiskinan negara dan menunjukkan pemulihan yang lebih perlahan daripada wabak COVID-19.

Inisiatif kerajaan untuk menubuhkan Pangkalan Data Utama (PADU) menjadi asas untuk mengenal pasti kelayakan, memastikan liputan yang lebih luas serta meningkatkan perlindungan.

Loading...
Terkini