comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Malaysia perlu ada strategi hasil jangka sederhana – Bank Dunia

Ketua Ahli Ekonomi Malaysia Bank Dunia, Dr Apurva Sanghi. – FOTO: NSTP

Oleh: Afrina Romzi

KUALA LUMPUR: Malaysia perlu mempunyai strategi hasil jangka sederhana (MTRS) untuk memperkukuh kedudukan fiskal negara.

Ketua Ekonomi Malaysia, Bank Dunia, Dr Apurva Sanghi, berkata Malaysia perlu mempunyai pandangan fiskal jangka panjang tentang keperluan ekonomi yang perlu dibelanjakan dan berapa jumlah hasil yang perlu digerakkan.

Menerusi strategi MTRS, Malaysia juga perlu meletakkan sasaran sumbangan hasil cukai yang sewajarnya.

“(Sekarang) Tiada sasaran peningkatan hasil yang ditetapkan. Anda tahu hasil negara rendah, di bawah 12 peratus daripada KDNK, tetapi berapa banyak yang perlu ditingkatkan? 12.1%? 13%? 15%? 20%? Jadi kita tidak tahu.

“Apabila sasaran kuantitatif untuk meningkatkan hasil telah ditetapkan, berdasarkan jurang antara kadar semasa dan sasaran itu, perbincangan boleh dilaksanakan untuk menetapkan instrumen yang optimum.

“Contohnya dari 12 peratus ke 12.1 peratus, adakah anda perlukan GST? Saya tidak rasa begitu. Tetapi jika sasaran hasil ialah 20 peratus, dari 12 peratus ke 20 peratus, anda perlu ada pandangan holistik, apakah instrumen-instrumen optimum yang boleh memberi hasil yang besar. Dua perkara penting, jika GST dalam perancangan, adakah akan dijalankan secara agresif? Apakah mekanisme yang kamu ada untuk menangai kebimbangan? Dan ini turut melibatkan jenis sistem percukaian yang lain,” katanya pada sidang media perkembangan terkini ekonomi Asia Timur dan Pasifik Oktober 2023 dan Bahagian Pertama Pemantauan Ekonomi Malaysia (MEM) September 2023 hari ini.

Perancangan juga perlu dibuat mengenai pilihan sistem percukaian yang boleh memastikan kebaikan cukai itu dapat mengatasi sebarang kesan buruk. Kerajaan juga perlu memastikan hasil yang diraih akan digunakan secara efektif dan jelas kepada rakyat.

“Jika anda melihat cara bajet Malaysia telah dilaksanakan, ia tidak begitu optimum kerana banyak pemecahan. Beberapa kementerian melakukan perkara yang sama. Contohnya kita mempunyai kira-kira 17 agensi yang menyediakan sekitar 170 program bantuan sosial. Malaysia mempunyai 35 agensi untuk pendigitalan PKS.

“Inilah yang saya maksudkan melainkan kerajaan memberi isyarat kepada rakyat bahawa mereka sedang mengambil tindakan untuk mengurus dengan lebih baik melalui penyediaan perkhidmatan awam dengan lebih cekap, melaksanakan bajet dengan lebih baik dengan menangani beberapa isu pemecahan ini. Hanya meminta rakyat meningkatkan pendapatan, saya tidak fikir ia sihat,” jelas beliau.

Tambah beliau, selepas Malaysia telah tetapkan pandangan fiskal jangka panjang, cara pengurusan pembelanjaan yang lebih baik, pilihan sistem kutipan hasil yang optimum, strategi komusikasi kepada orang awam perlu dirancang supaya sebarang tindakan tidak memberikan kejutan.

Loading...
Terkini