comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

MyDigital, World Bank mulakan perbincangan mengenai transformasi digital sektor awam

KUALA LUMPUR: MyDigital Corporation (MyDigital) dengan kerjasama Bank Dunia baru-baru ini terlibat dalam perbincangan meja bulat untuk membincangkan cabaran dan peluang dalam kemajuan transformasi digital sektor awam.

MyDigital dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini berkata perbincangan, ’Malaysia GovTech: Navigating the Transformation’ yang diadakan pada 19 Mei lepas menyaksikan para peserta secara aktif membincangkan status semasa GovTech di Malaysia dan mengenal pasti bidang yang memerlukan penambahbaikan, menekankan cabaran penting dan keutamaan pembaharuan.

Perbincangan meja bulat itu diketuai oleh Menteri Ekonomi Rafizi Ramli dan Pemangku Pengurus Negara Bank Dunia untuk Malaysia dan Ahli Ekonomi Utama Kumpulan Bank Dunia bagi Malaysia Dr Apurva Sanghi.

“Perbincangan meja bulat ini juga mendengar dan membincangkan menggunakan peralatan seperti Penilaian Kesediaan Kerajaan Digital (DGRA) yang merupakan rangka kerja yang lebih komprehensif untuk menilai keadaan transformasi kerajaan digital.

“Selain itu, perbincangan ini juga berperanan sebagai platform penting untuk bertukar-tukar pengetahuan, mempromosikan amalan terbaik dan mempengaruhi perjalanan transformasi digital masa depan di sektor awam,” kata MyDigital.

Sementara itu, Rafizi berkata GovTech ialah reka bentuk ekonomi utama yang bertujuan meletakkan Malaysia sebagai hab teknologi serantau dan peneraju digital.

“Dengan menerima penyelesaian digital, sektor awam boleh memainkan peranan penting dalam mempercepatkan penggunaan digital, mewujudkan pekerjaan dan meningkatkan ekonomi Malaysia.

“Kami menyedari mengenai cabaran dalam meningkatkan dan keperluan untuk pendekatan kolaboratif demi memastikan perjalanan ke arah GovTech adalah mampan, boleh dicapai dan dilakukan dengan gangguan yang paling sedikit,” katanya. – BERNAMA

Loading...
Terkini