comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Farm Price bakal jana modal RM24.48 juta menerusi IPO

KUALA LUMPUR: Pemborong dan pengedar sayur-sayuran segar yang berpangkalan di Johor, Farm Price Holdings Bhd (Farm Price) dijangka meraih dana sebanyak RM24.48 juta menerusi tawaran awam permulaan (IPO) membabitkan terbitan 450 juta saham biasa pada harga 24 sen sesaham.

Menerusi prospektus Farm Price yang akan disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Bhd (Bursa Securities) pada 14 Mei 2024, modal yang akan diraih akan digunakan untuk membina kemudahan baharu (RM6.4 juta), pembelian jentera, peralatan dan armada logistik (RM2 juta), pusat pengagihan dan perolehan wilayah yang dirancang (RM1.6 juta), modal kerja (RM10.58 juta) serta anggaran perbelanjaan penyenaraian (RM3.9 juta).

Pengarah Urusan Farm Price, Dr Tiong Lee Chian, berkata syarikat mahu mempercepatkan rancangan pengembangan strategiknya disebabkan oleh permintaan yang semakin meningkat untuk hasil tanaman yang segar.

Beliau berkata, syarikat juga merancang untuk menambah kawasan binaan pusat pengedaran berpusatnya di Senai, Johor daripada 78,721 kaki persegi kepada 149,548 kaki persegi dengan membina ruang pejabat tambahan, kemudahan bilik sejuk dan kawasan operasi serta gudang tambahan.

“Kami juga akan membina pusat pengedaran serantau tambahan dengan kemudahan bilik sejuk di Nilai, Negeri Sembilan dan Cameron Highlands, Pahang serta membina pusat pejabat pemasaran baharu di Singapura.

“Kami akan melabur jentera dan peralatan baharu untuk mengoptimumkan kecekapan aliran kerja dan mengautomasikan proses. Ini adalah sebagai persediaan bagi peningkatan pesanan pelanggan, di samping dapat mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga buruh secara manual,” katanya pada majlis pelancaran prospektus syarikat itu di sini, hari ini.

Lee Chian berkata, industri sayur segar adalah sebahagian daripada agenda keterjaminan makanan Malaysia, kerana ia merupakan industri penting yang mempengaruhi penduduk secara umum dari segi penyelenggaraan kehidupan, kesihatan dan kos sara hidup.

“Syarikat memainkan peranan penting dengan memastikan bekalan stabil bagi menyediakan hasil segar kepada rakyat dengan harga yang berpatutan. Ini akan mendorong usaha pengembangan dan inovasi syarikat secara berterusan.

“Dengan melakukan ini, kami tidak hanya bersedia untuk melayani pelanggan dengan lebih baik, tetapi juga untuk memperluaskan liputan geografi,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini