comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

FBM KLCI ditutup hampir pada paras tertinggi dalam tempoh 16 bulan

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup hampir pada paras tertingginya dalam tempoh 16 bulan apabila pasaran memberikan reaksi positif kepada keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mengekalkan kadar dasar semalamannya (OPR) pada 3.00 peratus.

Meskipun prestasi bercampur-campur di pasaran serantau, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 7.99 mata untuk ditutup kepada 1,504.10 daripada paras penutup 1,496.11 pada Selasa.

Paras tertinggi kali terakhir dicatatkan adalah pada 30 Ogos 2022, apabila indeks ditutup pada 1,512.05.

Indeks petunjuk pasaran dibuka tinggi naik 1.05 mata kepada 1,497.16 pagi ini bergerak dalam jajaran antara 1,497.16 dan 1,504.44.

Suasana pasaran positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 690 berbanding 360, manakala 431 kaunter tidak berubah, 806 tidak diniagakan dan 19 yang lain digantung.

Jumlah dagangan turun kepada 4.34 bilion unit bernilai RM2.88 bilion daripada 5.16 bilion unit bernilai RM3.33 bilion pada Selasa.

Semasa mesyuarat pertamanya bagi tahun ini, Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) BNM memutuskan untuk mengekalkan OPR pada 3.00 peratus, yang mana merupakan mesyuarat kali keempat berturut-turut yang memilih untuk mengekalkan kadar tidak berubah.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata OPR dijangka kekal pada 3.00 peratus dalam masa terdekat ini berdasarkan kepada jangkaan peningkatan ekonomi tahun ini meskipun ketidakpastian berhubung inflasi yang bergantung kepada rasionalisasi subsidi dan langkah-langkah kawalan harga.

“Keseluruhannya, kami berpendapat dasar monetari telahpun berada dalam zon terbatas dengan kadar faedah sebenar kini berada pada 1.5 peratus berbanding purata jangka panjang 0.6 peratus.

“Barangkali, BNM ingin melihat bagaimana pelaksanaan rasionalisasi subsidi akan memberi kesan kepada keseluruhan inflasi, dan oleh itu, bank pusat nampaknya agak berhati-hati dalam hal ini,” katanya kepada Bernama.

Mohd Afzanizam berkata OPR yang stabil bermakna kos pinjaman akan kekal tidak berubah dan membolehkan isi rumah dan perniagaan membuat perancangan yang lebih baik jika mereka memutuskan untuk melihat semula struktur liabiliti mereka.

“Antara pilihan yang boleh mereka lihat ialah membiayai semula liabiliti mereka terutamanya apabila mereka mengambil pembiayaan pada masa kadar faedah berada pada trajektori yang lebih tinggi,” katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank dan CelcomDigi naik satu sen setiap satu masing-masing kepada RM9.10 dan RM4.25,, Public Bank dan Tenaga meningkat dua sen setiap satu masing-masing kepada RM4.37 dan RM10.52, CIMB menokok 10 sen kepada RM6.12 dan IHH Healthcare menambah tujuh sen kepada RM6.07.

Dalam kalangan kaunter cergas, Widad Group susut setengah sen kepada 18 sen, MRCB dan YNH Property meningkat 4.5 sen setiap satu masing-masing kepada 58 sen dan 65.5 sen, manakala Handal Energy susut satu sen kepada 10 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 64.02 mata kepada 11,208.22, Indeks FBMT 100 mengukuh 57.29 mata kepada 10,859.33 dan Indeks FBM Emas Shariah menokok 54.44 mata kepada 11,293.29 dan Indeks FBM ACE menambah 7.54 mata kepada 4,861.42 manakala Indeks FBM 70 melonjak 78.69 mata kepada 15,204.41.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 65.13 mata kepada 16,766.60, Indeks Perladangan naik 35.96 mata kepada 7,191.76, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menokok 1.08 mata kepada 174.83, dan Indeks Tenaga menambah 11.50 mata kepada 869.66, manakala Indeks Hartanah naik 16.73 mata kepada 919.87.

Jumlah dagangan Pasaran Utama berkurangan kepada 2.57 bilion unit bernilai RM2.56 bilion daripada 2.96 bilion unit bernilai RM2.91 bilion pada Selasa.

Jumlah dagangan waran melonjak kepada 804.39 juta unit bernilai RM110.95 juta daripada 654.67 juta unit bernilai RM81.17 juta sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran ACE merosot kepada 950.38 juta saham bernilai RM198.37 juta berbanding 1.54 bilion saham bernilai RM333.45 juta.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 265.59 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (505.02 juta); pembinaan (198.48 juta); teknologi (180.88 juta); SPAC (sifar); perkhidmatan kewangan (77.35 juta); hartanah (752.42 juta); perladangan (32.79 juta); REITs (19.43 juta), dana tertutup (11,500); tenaga (243.91 juta); penjagaan kesihatan (77.12 juta); telekomunikasi dan media (28.57 juta); pengangkutan dan logistik (55.19 juta); dan utiliti (129.63 juta).

Bursa Malaysia Bhd dan anak syarikatnya akan ditutup pada Khamis, 25 Jan, sempena Thaipusam. Operasi akan disambung semula pada Jumaat, 26 Jan.

— BERNAMA

Loading...
Terkini