comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

FBM KLCI hampir tidak bergerak berikutan pelabur kekal tidak memasuki pasaran

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Sentimen pasaran lemah menyaksikan indeks barometer Bursa Malaysia hampir tidak bergerak sepanjang hari ini berikutan ketidaktentuan global terus menyebabkan pelabur tidak memasuki pasaran sementara menunggu data pekerjaan Amerika Syarikat (AS) yang dijangka dikeluarkan pada Jumaat.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menyusut 0.88 mata kepada 1,441.97  dengan peningkatan sederhana yang berterusan oleh Petronas Chemicals membantu mengekang penyusutan selanjutnya.

Indeks barometer dibuka meningkat 1.12 mata kepada 1,443.97 dan bergerak antara 1,441.09 dan 1,446.13 hari ini.

Lingkungan pasaran positif dengan 453 kaunter untung dan 377 kaunter rugi, manakala 488 kaunter tidak berubah, 1,019 tidak diniagakan dan 49 lain digantung dagangan.

Jumlah dagangan menguncup kepada 2.99 bilion unit bernilai RM1.99 bilion daripada 3.01 bilion unit  bernilai RM1.98 bilion pada Khamis.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Thong Pak Leng berkata pelabur mengambil pendekatan berhati-hati menjelang pengeluaran laporan pekerjaan oleh kerajaan AS lewat hari ini, diikuti data Indeks Harga Pengguna (IHP) dan keputusan mesyuarat Rizab Persekutuan (Fed) AS minggu depan.

Selain itu, data serantau yang kurang memberangsangkan menyebabkan sentimen lemah di pasaran sedang pesat membangun yang sebahagian besarnya menunjukkan prestasi merosot.

Loading...
Terkini