comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Jualan asing saham di Bursa Malaysia susut kepada RM57.8 juta minggu lepas

Foto Hiasan

KUALA LUMPUR: Pelabur asing menjual RM57.8 juta ekuiti Malaysia pada minggu lepas semasa minggu dagangan singkat berikutan cuti Tahun Baru Cina daripada RM168.5 juta pada minggu sebelumnya.

MIDF Research berkata ini menandakan minggu jualan bersih ketiga berturut-turut.

Setakat ini bagi tahun ini, pelabur asing telah menjual ekuiti Malaysia berjumlah RM200.77 juta.

Firma penyelidikan itu berkata Jumaat minggu lepas menyaksikan aliran keluar paling besar sebanyak RM30.67 juta diikuti Rabu sebanyak RM26.51 juta.

Jumlah pada Khamis agak rendah merekodkan aliran keluar sebanyak RM0.66 juta.

Peruncit tempatan menjual ekuiti bernilai RM21 juta pada minggu lepas. Mereka menjual ekuiti berjumlah RM30.8 juta pada Rabu dan RM4.8 juta pada Jumaat.

“Khamis merupakan hari belian bersih sebanyak RM14.6 juta. Setakat ini, peruncit tempatan telah membuat jualan bersih sebanyak RM484.62 juta ekuiti Malaysia,” katanya dalam satu nota penyelidikan hari ini.

Bagaimanapun, dari segi penyertaan, terdapat peningkatan dalam purata volum dagangan harian (ADTV) dalam kalangan peruncit tempatan sebanyak 19.2 peratus dan pelabur asing sebanyak 4.6 peratus.

Institusi tempatan kekal sebagai pembeli bersih bagi tiga minggu berturut-turut selepas belian bersih ekuiti bernilai RM78.9 juta pada minggu lepas.

Pada Rabu dan Jumaat, terdapat aliran masuk bersih masing-masing sebanyak RM57.3 juta dan RM35.5 juta, manakala Khamis menyaksikan aliran keluar bersih sebanyak RM14 juta oleh institusi tempatan.

Setakat ini pada tahun ini terdapat pembeli bersih ekuiti domestik dengan jumlah aliran masuk bersih sebanyak RM685.39 juta. – BERNAMA

Loading...
Terkini