comscore
Tumpuan :
Nasional

Pokok hiasan bawa keceriaan sambutan Tahun Baharu Cina

Oleh: Shuhadah Marzuki 

PETALING JAYA: Menjelang Tahun Baharu Cina Sabtu ini, pokok hiasan menjadi pilihan masyarakat Tionghua untuk menceriakan sambutan.

Meskipun pokok hiasan tradisi seperti limau kasturi mengalami kenaikan harga tahun ini, namun sesetengah individu masih sanggup berbelanja memandangkan sambutan hanya setahun sekali.

Melalui tinjauan yang dilakukan masyarakat Tionghua memanfaatkan hujung minggu terakhir untuk mendapatkan pokok hiasan bagi menyambut kedatangan Tahun Naga.

Pokok hiasan seperti limau kasturi, bunga kekwa dan pokok buluh antara yang laris dijual berikutan ia bukan sahaja dijadikan sebagai penyeri kediaman tetapi melambangkan tuah dan kegembiraan.

Rianne Chin

Kakitangan swasta, Rianne Chin ketika ditemu bual Buletin TV3 berkata, walaupun berlaku kenaikan harga, menjadi satu keperluan baginya membeli pokok hiasan.

“Pokok limau perlu ada di setiap rumah pada Tahun Baharu Cina kerana selain memberi keceriaan ia juga memberi tuah. Saya suka memilih pokok yang ada banyak buah,” katanya.

Namun, ada juga yang memilih pokok bonzai sebagai hiasan.

Pasangan warga emas ini misalnya membelanjakan lebih RM500 hanya untuk mendapatkan pokok hiasan.

Lily Low

Kata Lily Low, selain keunikan reka bentuk, pokok bonzai memberi ‘Feng Shui’ yang baik kepada kediaman mereka.

Menurut pemilik tapak semaian dan kedai bunga di Sungai Buloh Sunny Yap, jualan pokok hiasan agak memberangsangkan biarpun tidak semeriah seperti tahun lalu.

Sunny Yap

“Sebenarnya (jualan) agak baik bukan tidak baik sama sekali. Seminggu sebelum sambutan tahun Baharu cina, pokok hiasan sudah habis dijual. Ianya agak baik, berbanding tahun lalu, jualan pada tahun ini agak perlahan,” kata Sunny kepada Buletin TV3.

Selain sebagai penyeri kediaman, ada pelanggan yang membeli pokok hiasan untuk dijadikan hadiah kepada rakan dan kenalan rapat.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini