comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Pertumbuhan sektor runcit dijangka berterusan sehingga akhir tahun

KUALA LUMPUR: Sektor runcit domestik dijangka mengekalkan trajektori pertumbuhannya sepanjang tahun ini, kata MIDF Research.

Dalam nota penyelidikan hari ini, bank pelaburan itu berkata pertumbuhan itu akan disokong oleh permintaan yang berterusan terhadap barangan keperluan, peningkatan semula bagi penggunaan di luar rumah dan pertambahan ketibaan pelancong.

“Ini dijangka meliputi kedai bukan khusus serta segmen makanan dan minuman (F&B), dan tembakau di kedai khusus,” katanya.

Pada masa sama, firma penyelidikan itu juga optimis terhadap unjuran sektor pengguna, disokong oleh usaha defensif berikutan permintaan berdaya tahan terhadap produk berkaitan barangan asas, penggunaan domestik yang teguh yang disokong pasaran buruh yang stabil, perdagangan runcit yang kukuh dan peningkatan aktiviti pelancongan.

Ia juga menjangka pengeluar F&B akan menerima margin keuntungan yang lebih baik, didorong oleh penyusutan harga komoditi global dan kenaikan harga sebelum ini, yang mengimbangi tekanan kos lain.

“Selain itu, harga niaga hadapan kacang soya dan jagung yang kembali normal menunjukkan kos bahan mentah yang lebih rendah kepada penggiat berkaitan ayam itik, yang seterusnya menyokong margin keuntungan mereka,” katanya.

Pilihan utama firma penyelidikan itu terus memihak kepada syarikat berkaitan barangan asas pengguna yang menunjukkan permintaan berdaya tahan seperti QL Resources, yang disokong oleh permintaan konsisten terhadap produk marin dan ternakan.

“Kami juga memilih F&N berikutan syarikat ini dijangka menerima manfaat daripada permintaan yang meningkat terhadap minuman sedia diminum, yang didorong oleh pertambahan trafik pelancong,” katanya.

Loading...
Terkini