comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Micro-credentials: UNESCO jadikan Malaysia antara rujukan utama

Foto MQA

Oleh: Juliana Ismail

SEPANG: Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) menjadikan Malaysia sebagai satu daripada rujukan utama berkenaan penawaran kursus pendek bersifat micro-credentials.

Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, perkara itu dinyatakan dalam kertas polisi: Laluan Pembelajaran Fleksibel dalam Pendidikan Tinggi bertajuk ‘Kursus Pendek, Micro-credentials dan Laluan Pembelajaran Fleksibel: Satu Pelan Tindakan untuk Pembangunan Dasar dan Tindakan’.

“Selain Malaysia, negara lain yang menjadi rujukan UNESCO termasuk Australia, Colombia, New Zealand, Perancis dan Jamaica. Rujukan UNESCO ini mencerminkan Malaysia mempunyai penawaran kursus pendek bersifat micro-credentials yang baik sehingga mampu menarik minat masyarakat global,” katanya.

Beliau berkata, kertas polisi 52 halaman yang ditulis oleh penasihat strategi pendidikan tinggi, Peter van der Hijden dan Michaela Martin itu membincangkan mengenai trend, cabaran dan tindakan yang dapat menyumbang kepada pelaksanaan yang berjaya bagi kursus pendek dan micro-credentials di persada global.

Katanya, Garis Panduan Amalan Baik: Microcredential dikeluarkan MQA pada tahun 2020 menjadi antara topik utama selain Micro-crendentials di Universiti Sains Malaysia (USM) yang turut menjadi sebahagian pengisian penting dalam kertas polisi berkenaan.

Mengulas lanjut, perkara itu terbukti apabila Malaysia menjadi antara negara paling dicari di dunia untuk micro-credentials di Google Trends.

Katanya, pihaknya sentiasa menggalakkan institusi pendidikan tinggi (IPT) tempatan sama ada awam atau swasta untuk menawarkan kursus micro-credentials bagi menyemarakkan lagi agenda pembelajaran sepanjang hayat (PSH) di negara ini.

Beliau berkata, selain mampu menjadi sumber baharu kelestarian IPT, ia juga memberi peluang untuk meningkatkan kelayakan akademik individu yang mengikutinya.

“Penawaran kursus micro-credentials bersifat terbuka, justeru bukan hanya di Malaysia, malah ia boleh ditawarkan ke luar negara bagi pelajar antarabangsa.

“Perkara ini selaras dengan hasrat Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang mahu menarik bakat terbaik dunia seterusnya menjadikan Malaysia sebagai hab bakat dan pengetahuan atau pusat ilmu sejagat,” katanya.

Loading...
Terkini