comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

MIDA digitalkan sijil bagi permudah menjalankan perniagaan di Malaysia

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) telah bertindak mendigitalkan tiga sijil penting dalam sektor pengilangan untuk memperkemas sistem pemprosesan dan penyampaian kerajaan serta memudah cara aspek menjalankan perniagaan di negara ini.

Pendigitalan sijil-sijil seperti Lesen Pengilang, permit di bawah Akta Kemajuan Petroleum (PDA) dan Sijil Perakuan Perintis, akan disediakan menerusi Portal InvestMalaysia (https://investmalaysia.mida.gov.my).

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Perindustrian Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata usaha pendigitalan sijil-sijil pengilangan itu menjadi langkah penting ke arah pemodenan, pemikiran semula dan perekayasaan perkhidmatan awam.

“Langkah itu dapat menawarkan perkhidmatan lebih inklusif, lancar dan khusus untuk pelabur yang juga seiring dengan salah satu objektif Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030.

“Menerusi inisiatif pendigitalan ini, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Perindustrian (MITI) menerusi MIDA, menyasarkan untuk menambah baik aspek kebertanggungjawaban, ketelusan dan keselamatan siber yang akan mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai hab digital bagi rantau ini,” kata beliau dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MIDA Datuk Arham Abdul Rahman berkata langkah tersebut akan memendekkan tempoh proses berkaitan selain meningkatkan komitmen piagam pelanggan terhadap pelabur sambil melengkapkan sasaran transformasi digital dalam menyokong keperluan semasa serta masa depan industri.

“Ini adalah pernyataan cita-cita kami bagi memanfaatkan data dan teknologi baharu serta memacu usaha lebih meluas bagi membangunkan ekonomi digital.

“Usaha itu ini akan turut membolehkan MIDA memberi respons terhadap keperluan pelabur dengan lebih berkesan. MIDA juga akan terus menjadi lebih inovatif dalam menerajuinya dengan langkah sokongan yang dapat memudahkan lagi cara menjalankan perniagaan,” katanya.

Antara ciri ketara inisiatif itu adalah pengintegrasian lambang pengesahan ‘Digital Organisation Trustmark’ yang memaparkan dua simbol utama iaitu Trustmark MITI (terdapat dalam sijil Lesen Pengilang dan Permit PDA) dan MIDA Trustmark (dipaparkan dalam Sijil Perakuan Perintis).

“(Lambang) pengesahan ini dipaparkan dalam sijil-sijil, mengukuhkan lagi keselamatan dokumen yang sejajar dengan ketetapan dalam Akta Tandatangan Digital 1997 dan Peraturan-Peraturan Tandatangan Digital 1998.

Menurut MIDA, sijil yang dipertingkat secara digital ini akan turut memasukkan kod ‘Quick Response’ (QR) atau respons pantas, sekali gus memberi aspek pengesahan yang menjamin ketulenan dokumen berkenaan dan boleh diimbas oleh pengguna menerusi mekanisme berkaitan.

— BERNAMA

Loading...
Terkini