comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Pelan hala tuju teknologi dan ekonomi Hidrogen dilancar sebelum UNFCCC COP 28

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang

KUALA LUMPUR: Pelan Hala Tuju Teknologi dan Ekonomi Hidrogen (HETR) dijangka dilancarkan sebelum Persidangan Pihak-pihak Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim ke-28 (UNFCCC 28) yang dijadualkan dari 30 Nov hingga 12 Dis di Dubai.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang berkata pelan hala tuju itu telah dibincangkan dan dipersetujui oleh Kabinet dan Majlis Sains Negara.

“Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) memainkan peranan yang sangat penting terutamanya dalam menangani isu global, kerana ini adalah perubahan iklim.

“Kami sedang melihat kepada peralihan tenaga… sudah pasti kita juga melihat kepada perkongsian awam-swasta bagi merancakkan usaha dan inisiatif ini dalam tenaga boleh diperbaharui,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kongres Tenaga Boleh Diperbaharui Dunia (WREC) 2023 di sini hari ini.

Terdahulu dalam ucapannya, Chang berkata HETR adalah jawapan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dalam menangani tiga cabaran tenaga iaitu kebolehpercayaan, kemampuan dan kemampanan, di samping mencapai sasaran penyahkarbonan.

Beliau berkata HETR bukan sahaja pelan hala tuju untuk penyahkarbonan melalui hidrogen, tetapi juga dokumen hidup untuk teknologi baharu dan inovasi dalam peralihan tenaga.

“Kami mengalu-alukan penyertaan dan kerjasama rakan kongsi antarabangsa dan pihak berkepentingan dalam merealisasikan potensi pelan hala tuju,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai loji hidrogen pertama di Sarawak, Chang berkata ia telah dibangunkan dan dijangka mula beroperasi pada tahun ini.

Beliau berkata kerajaan juga bercadang untuk mendirikan loji hidrogen kedua di Semenanjung tetapi akan mengumumkan butirannya kemudian.

Loading...
Terkini