comscore
Tumpuan :
Dunia

Tanah kosong dijual RM156 juta

DUBAI: Sebidang tanah pasir kosong di sebuah pulau buatan di Dubai dijual pada harga AS$34 juta atau kira-kira RM156.43 juta.

Jualan pecah rekod itu menjadikan bekas pemiliknya memperoleh keuntungan 242 peratus ke atas hartanah yang belum dibangunkan itu.

Bloomberg melaporkan, tanah berkenaan terletak di Pulau Teluk Jumeirah, sebuah pulau buatan manusia yang boleh diakses melalui jambatan dari tanah besar Dubai.

Tanah seluas 24,500 kaki persegi itu dijual pada harga 125 juta dirham (kira-kira RM156.43 juta) pada 19 April lalu.

Hartanah itu dijual oleh Umar Kamani, bekas Ketua Pegawai Eksekutif peruncit dalam talian PrettyLittleThing, yang membeli tanah itu dua tahun lalu dengan harga hampir AS$10 juta (kira-kira RM46.01 juta).

Selepas meninggalkan sebidang tanah itu tanpa sebarang pembangunan selama dua tahun, Umar menjual harta itu kepada pembeli yang tidak menetap di Emiriah Arab Bersatu.

Pembelinya dilaporkan mahu membina rumah percutian keluarga di atas pasir.

Broker hartanah Knight Frank, Andrew Cummings menyifatkan jualan itu berada pada paras tinggi baharu, 5,100 dirham (kira-kira RM6,389) setiap kaki persegi yang membolehkan Umar memperoleh keuntungan AS$24 juta (kira-kira RM110.42 juta) hanya dengan memiliki tanah itu selama dua tahun.

“125 juta dirham hanya untuk pasir.“Biasanya yang menjadi perhatian adalah vila yang menakjubkan dan penthouse yang luar biasa, tetapi jualan ini memang pecah rekod besar-besaran untuk plot tanah,” katanya.

Harga terlalu tinggi itu sebahagiannya disebabkan permintaan tinggi untuk tanah di pulau eksklusif berbentuk ladam yang juga dikenali sebagai pulau Bulgari yang menjadi rumah kepada bangunan pencakar langit, hotel dan vila mewah serta marina kapal layar.

Pemaju menetapkan plot tanah itu tidak boleh dibahagi-bahagikan sekali gus menjadikan ia lebih eksklusif.

Loading...
Terkini