comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Pertumbuhan KDNK suku pertama lebih baik daripada jangkaan, namun separuh kedua dijangka mencabar

Foto Hiasan

Oleh Afrina Romzi

PETALING JAYA: Pertumbuhan ekonomi negara untuk suku pertama tahun ini pada 5.6% adalah lebih baik daripada unjuran awal pasaran pada 5.1%.

Pakar Ekonomi, MIDF Research, Muhammad Zafri Zulkeffeli, berkata pertumbuhan tinggi ini dipacu permintaan domestik, khususnya perbelanjaan swasta yang meningkat 5.9% pada suku pertama tahun ini, seiring penurunan kadar inflasi daripada 3.9% kepada 3.6% serta pasaran pekerjaan yang lebih baik.

“Pasaran pekerjaan yang bertambah baik seperti kita lihat kadar pengangguran terus menurun daripada 3.6% pada suku terakhir tahun lalu dan kini 3.5% pada Mac lalu,” katanya kepada BuletinTV3.

Ketua Ahli Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, prestasi itu juga memberi petanda Malaysia pada landasan untuk mencapai sasaran pertumbuhan antara 4% hingga 5% tahun ini dan menjangka pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk suku kedua juga akan melepasi 5%.

Bagaimanapun, ekonomi negara dilihat akan bergerak pada kadar lebih perlahan pada separuh kedua tahun ini susulan kesan asas yang lebih tinggi tahun lalu serta faktor luaran.

“Pada suku ketiga 2022, negara mencatat pertumbuhan sebanyak 14.1%. Ini adalah satu asas yang tinggi. Jadi untuk mengekalkan momentum melebihi 5% itu agak sukar,” katanya kepada TV3.

Selain itu, persekitaran global dilihat mencabar termasuk kesan daripada kenaikan kadar faedah yang agresif di Amerika Syarikat dan Eropah, yang secara tidak langsung akan memberi tempias kepada Malaysia yang bersifat ekonomi terbuka daripada sudut pelaburan dan aliran modal.

Bagaimanapun, segmen domestik dijangka memberi satu paksi kepada ekonomi negara untuk mencatat pertumbuhan yang stabil akan datang.

Loading...
Terkini