comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Tesla tidak beri impak ketara terhadap penggiat auto tempatan – Kenanga Research

Foto Bernama

KUALA LUMPUR: Kehadiran kenderaan utiliti sukan (SUV) elektrik sepenuhnya Tesla, Model Y yang dijangka mendapat sambutan baik di peringkat domestik, tidak akan mendatangkan impak atau ancaman ketara terhadap industri automotif tempatan dalam masa terdekat, kata Kenanga Research.

Cabang penyelidikan Kenanga Investment Bank Bhd itu berkata Model Y ditetapkan pada harga kompetitif iaitu RM199,000 hingga RM288,000 berbanding saingannya dalam segmen SUV kompak dengan kadar pembiayaan lebih rendah.

“(Ini memandangkan), lebih daripada 70 peratus kenderaan yang dijual di peringkat tempatan berharga kurang daripada RM100,000, termasuk 40 peratus di bawah RM50,000,” katanya dalam nota penyelidikannya.

Kenanga juga menyifatkan kenderaan elektrik itu jauh daripada kategori harga berpatutan serta berupaya menggantikan kehadiran kenderaan yang dipacu oleh enjin pembakaran secara dalaman (ICE).

“Dalam keadaan seperti kekurangan stesen pengecasan EV sehinggalah strategi holistik bagi membangunkan ekosistem EV yang mantap, apa yang pasti adalah kenderaan ICE masih lagi dominan,” katanya.

Menurutnya, Perodua yang menguasai hampir 50 peratus daripada jumlah keseluruhan industri tempatan (TIV), akan lebih menumpukan kereta hibrid (dijangka dilancarkan di bawah paras harga RM70,000) bagi membina kepakaran tempatan serta secara beransur-ansur mengalihkan kapasiti vendor ke arah menyetempatkan komponen utama EV seperti bateri, elemen ‘inverter’ atau penyongsang dan motor.

Pengeluar kenderaan itu juga telah menyatakan dalam usaha mengeluarkan EV pada harga berpatutan, wujud keperluan untuk membangunkan ekosistem bekalan alat ganti EV yang dikeluarkan di peringkat tempatan.

Kenanga berkata, Bermaz Auto pula telah menyatakan hasratnya untuk terus memantau perkembangan ekosistem EV secara teliti, seiring dengan komitmen dan bersaing dengan jenama EV lain menerusi pelancaran pelbagai model EV siap dipasang (CBU) baharu.

Ini termasuk Mazda MX-30, Kia EV6, Kia Niro EV dan Peugeot e-2008 yang merupakan model lebih baharu berbanding Model Y Tesla.

Selain itu, Kenanga juga menyifatkan kehadiran Tesla di Malaysia dijangka mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran dan bergaji lebih menarik dalam segmen bateri EV dan peningkatan penyertaan syarikat tempatan dalam ekosistem itu.

“Aspek itu akan secara strategiknya memanfaatkan ekosistem elektrik dan elektronik tempatan bagi menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan untuk teknologi berkaitan mobiliti karbon rendah,” katanya.

BERNAMA

Loading...
Terkini